ENAKMEN 4 TAHUN 1994
KANUN ACARA JENAYAH (SYARIAH) 1994

BAHAGIAN VII - PERUNTUKAN-PERUNTUKAN TAMBAHAN
BAB XXIV - PERUNTUKAN-PERUNTUKAN KHAS BERHUBUNGAN DENGAN KETERANGAN



Seksyen 189. Prosedur apabila orang yang boleh memberi keterangan material sakit teruk.

(1) Apabila ternyata kepada seseorang Hakim bahawa mana-mana orang yang boleh memberi keterangan material sama ada bagi pihak pendakwa atau pihak pembela, berhubungan dengan kesalahan boleh tangkap, sedang sakit begitu teruk sehingga tidak praktik untuk mengambil keterangannya mengikut perjalanan biasa undang-undang, Hakim tersebut boleh mengambil deposisi orang tersebut dengan syarat notis yang munasabah sebagaimana yang dibolehkan oleh kes itu telah diberi kepada pendakwa dan tertuduh tentang cadangan untuk mengambil deposisi itu dan tentang masa dan tempat di mana Hakim bercadang untuk mengambilnya.

(2) Jika tertuduh berada dalam tahanan, Hakim boleh memerintahkan pegawai yang bertanggungjawab bagi penjara supaya menghantar tertuduh ke tempat tersebut pada waktu yang telah diberitahu dan pegawai tersebut hendaklah menghantarkannya dengan demikian.

(3) Apabila dibuktikan pada perbicaraan tertuduh tersebut bagi apa-apa kesalahan yang berkaitannya deposisi itu diambil bahawa deponen itu telah mati atau kerana apa-apa sebab yang mencukupi kehadirannya tidak dapat diperolehi, deposisi itu boleh dibaca sarna ada bagi atau terhadap tertuduh itu, walaupun dia tidak hadir semasa deposisi itu diambil, jika deposisi itu diperakui di bawah tandatangan Hakim yang mengambilnya dan tidak dibuktikan sebaliknya atau jika ditunjukkan oleh keterangan lain bahawa deponen itu memang pada masa pemeriksaannya sakit teruk seperti yang disebut terdahulu dan bahawa deposisi tersebut telah diambil dengan sewajarnya di tempat dan masa yang diberitahu dan notis munasabah tentang cadangan untuk mengambilnya telah diberikan kepada orang yang terhadapnya deposisi itu dikemukakan sebagai keterangan, supaya dia atau peguam syarienya boleh hadir dan boleh mendapat, jika dia memilih untuk hadir, peluang penuh untuk pemeriksaan balas.




Copyright © PNMB-LawNet. All rights reserved.