ORDINAN 5 TAHUN 1991
ORDINAN UNDANG-UNDANG KELUARGA ISLAM 1991

BAHAGIAN V - PEMBUBARAN PERKAHWINAN



Seksyen 47. Perceraian khul' atau cerai tebus talaq.

(1) Jika suami tidak bersetuju menjatuhkan talaq dengan kerelaannya sendiri, tetapi pihak-pihak itu bersetuju bercerai cara penebusan atau cerai tebus talaq, Mahkamah hendaklah, selepas jumlah bayaran tebus talaq dipersetujui oleh pihak-pihak itu, mengarahkan suami itu melafazkan perceraian dengan cara penebusan, dan perceraian itu adalah ba-in-sughra atau tak boleh diruju'kan.

(2) Mahkamah hendaklah merekodkan cerai tebus talaq itu dengan sewajarnya dan menghantarkan satu salinan rekod itu yang diperakui sah kepada Pendaftar yang berkenaan dan kepada Ketua Pendaftar untuk didaftarkan.

(3) Jika jumlah bayaran tebus talaq tidak dipersetujui oleh pihak-pihak itu, Mahkamah boleh mentaksirkan jumlah itu mengikut Hukum Syarak dengan memberi pertimbangan kepada taraf dan sumber kewangan pihak-pihak itu.

(4) Jika suami tidak bersetuju bercerai dengan cara penebusan atau tidak hadir di hadapan Mahkamah sebagaimana diarahkan, atau jika Mahkamah berpendapat bahawa ada kemungkinan yang munasabah bagi suatu perdamaian, Mahkamah hendaklah melantik suatu jawatankuasa pendamai sebagaimana yang diperuntukkan di bawah seksyen 46 dan seksyen itu hendaklah dipakai sewajarnya.





Copyright © PNMB-LawNet. All rights reserved.