ENAKMEN 8 TAHUN 1991
ENAKMEN KETERANGAN SYARIAH NEGERI SEMBILAN 1991

BAHAGIAN III - PENGEMUKAAN DAN NATIJAH KETERANGAN
BAB 7 - Saksi



Seksyen 83. Siapa yang boleh memberi keterangan sebagai saksi.

(1) Tertakluk kepada Hukum Syarak dan peruntukan seksyen ini, setiap orang Islam hendaklah layak memberi baiyyinah atau syahadah dengan syarat mereka hendaklah sempurna akal, adil, baligh mempunyai ingatan yang baik dan tidak ada menimbulkan tohmah.

(2) Seorang yang bukan Islam layak memberi baiyyinah untuk seorang Islam jika keterangan yang diberi boleh diterima mengikut Hukum Syarak.

Huraian:

(3) Seorang yang tidak bersifat adil yang mana keburukan mengatasi kebaikannya atau sentiasa bercakap dusta atau yang diketahui mempunyai akhlaknya yang buruk adalah layak memberi baiyyinah tetapi tidak layak memberi syahadah.

(4) Apabila orang itu orang bukan Islam, ia mestilah boleh dipercayai mengikut agamanya.

(5) Seorang kanak-kanak yang belum baligh atau seorang yang baligh tetapi terganggu atau tercacat akal fikirannya adalah layak memberi baiyyinah tetapi tidak layak memberi shahadah.

Huraian
- Keterangan kanak-kanak dalam kes kecederaan yang dilakukan oleh kanak-kanak lain ke atas yang lain selama mana mereka tidak berselisih faham dan masih berada di tempat kejadian itu adalah layak diterima.

(6) Seorang yang dikenali dengan lemah ingatan atau pelupa atau salah ingatan adalah layak memberi baiyyinah tetapi tidak layak memberi shahadah.

(7) Seorang yang diragui kebolehpercayaannya kerana hubungan baik yang mempunyai kepentingan dengan pihak yang berkaitan adalah layak memberi baiyyinah tetapi tidak layak memberi shahadah bagi pihak itu.

(8) Seorang yang diragui kebolehpercayaannya kerana hubungan buruk dengan pihak yang berkaitan adalah layak memberi baiyyinah tetapi tidak layak memberi syahadah terhadap pihak itu

Huraian
-"Adil" ertinya seorang Islam yang termaklum menunaikan kewajipan agama, menjauhi daripada dosa-dosa besar dan mengelakkan dosa-dosa kecil dengan syarat bahawa jika saksi itu seorang bukan Islam dia hendaklah boleh dipercayai mengikut agamanya atau kepercayaannya.




Copyright © PNMB-LawNet. All rights reserved.