ENAKMEN 8 TAHUN 1983
ENAKMEN KELUARGA ISLAM 1983
BAHAGIAN III - PERCERAIAN
Seksyen 38. Fasakh.
(1) Seseorang perempuan yang berkahwin mengikut Hukum Syarak adalah berhak mendapat suatu perintah untuk membubarkan perkahwinan atau untuk fasakh atas satu atau lebih daripada alasan-alasan yang berikut, iaitu -
(a) tempat di mana beradanya suami telah tidak diketahui selama tempoh lebih daripada satu tahun;
(b) suami telah cuai atau telah tidak mengadakan peruntukan bagi nafkahnya selama tempoh tiga bulan;
(c) suami telah dihukum penjara selama tempoh tiga tahun atau lebih;
(d) suami telah tidak menunaikan, tanpa sebab yang munasabah, kewajipan perkahwinannya (nafkah batin) selama tempoh satu tahun;
(e) suami telah mati pucuk pada masa perkahwinan dan masih lagi sedemikian dan isteri tidak tahu pada masa perkahwinan bahawa suami telah mati pucuk;
(f) suami telah gila selama tempoh dua tahun atau sedang mengidap penyakit kusta atau vitligo atau sedang mengidap penyakit kelamin dalam keadaan boleh berjangkit;
(g) isteri, setelah dikahwinkan oleh bapa atau datuknya sebelum ia mencapai umur enam belas tahun, menolak perkahwinan itu sebelum mencapai umur lapan belas tahun, dan ia belum disetubuhi oleh suaminya itu;
(h) suami menganiayainya, iaitu antara lain-
(i) lazim menyakiti atau menjadikan kehidupannya menderita disebabkan oleh kelakuan aniaya; atau
(ii) berkawan dengan perempuan-perempuan jahat atau hidup berperangai keji mengikut pandangan Hukum Syarak; atau
(iii) cuba memaksa isteri hidup secara lucah; atau
(iv) melupus harta isteri atau melarang isteri itu dari menggunakan hak-haknya di sisi undang-undang terhadap harta itu ; atau
(v) menghalang isteri dari menunai atau menjalankan kewajipan atau amalan agamanya; atau
(vi) jika ia mempunyai isteri lebih daripada seorang, dia tidak melayani isteri yang berkenaan secara adil mengikut kehendak-kehendak Hukum Syarak;
(i) walaupun empat bulan berlalu tetapi isteri masih belum mensetubuhinya;
(j) isteri tidak izin akan perkahwinan itu atau izinnya tidak sah, sama ada oleh sebab paksaan, kesilapan, ketidaksempurnaan akal, atau lain-lain hal keadaan yang diakui oleh Hukum Syarak;
(k) pada masa perkahwinan itu isteri, sungguhpun berkebolehan memberi izin yang sah, adalah seorang yang sakit otak, sama ada berterusan atau berselangan, dalam erti Ordinan Sakit Otak 1952 [
Ord. No.31/52
] dan sakit otaknya adalah dari suatu jenis atau setakat yang menjadikannya tidak layak untuk berkahwin;
(l) apa-apa alasan lain yang diiktiraf sebagai sah bagi membubarkan perkahwinan atau bagi fasakh di bawah Hukum Syarak.
(2) Tiada sesuatu perintah boleh dibuat atas alasan dalam perenggan (c) dalam subseksyen (1) sehingga hukuman itu telah dikemukakan dan suami telahpun menjalani satu tahun dari hukuman itu.
(3) Sebelum membuat suatu perintah atas alasan dalam perenggan (e) dalam subseksyen (1) Mahkamah hendaklah, atas permohonan suami, membuat suatu perintah menghendaki suami memuaskan hati Mahkamah dalam tempoh enam bulan dari tarikh perintah itu bahawa dia tidak lagi mati pucuk, dan jika suami memuaskan hati Mahkamah sedemikian dalam tempoh itu, tiada sesuatu perintah boleh dibuat atas alasan itu.
(4) Tiada sesuatu perintah boleh dibuat atas mana-mana alasan dalam subseksyen (1) jika suami memuaskan hati Mahkamah bahawa isteri, dengan mengetahui bahawa adalah terbuka kepadanya untuk mendapatkan perkahwinan itu ditolak, telah bertingkahlaku terhadap suaminya dengan cara yang menyebabkan suami mempercayai dengan munasabah bahawa isteri tidak akan menolak perkahwinan itu, dan bahawa adalah tidak adil kepada suami jika dibuat perintah itu.
Copyright © PNMB-LawNet. All rights reserved.