ENAKMEN 5 TAHUN 1996
ENAKMEN KETERANGAN MAHKAMAH SYARIAH (NEGERI PULAU PINANG) 1996

BAHAGIAN II - PEMBUKTIAN
BAB 5 - KETERANGAN DOKUMENTAR



Seksyen 49. Keterangan primer.

Keterangan primer ertinya dokumen itu sendiri yang dikemukakan untuk pemeriksaan Mahkamah.

Huraian 1-Jika sesuatu dokumen disempurnakan dalam beberapa bahagian, maka setiap bahagian itu adalah keterangan primer bagi dokumen itu.

Jika sesuatu dokumen disempurnakan dalam kaunterpart dan setiap satu kaunterpart itu disempurnakan oleh satu atau beberapa pihak sahaja, maka setiap satu kaunterpart itu adalah keterangan primer terhadap pihak yang menyempurnakannya.

Huraian 2-Jika sebilangan dokumen semuanya dibuat melalui satu proses yang seragam seperti dalam hal percetakan, litografi atau fotografi, maka setiap kaunterpart itu adalah keterangan primer bagi kandungan yang lainnya itu; tetapi jika dokumen itu adalah semuanya salinan daripada dokumen asal yang sama, maka dokumen itu bukanlah keterangan primer bagi kandungan dokumen asal itu.

Huraian 3-Sesuatu dokumen yang dikeluarkan oleh komputer adalah keterangan primer.

MISALAN

Seseorang dibuktikan telah memiliki beberapa plakad, kesemuanya dicetak sekaligus daripada dokumen asal. Mana-mana satu daripada plakad itu adalah keterangan primer mengenai kandungan mana-mana plakad yang lain itu, tetapi tiada satu pun daripadanya menjadi keterangan primer bagi kandungan dokumen asal itu.




Copyright © PNMB-LawNet. All rights reserved.