ENAKMEN 3 TAHUN 1991
ENAKMEN PENTADBIRAN UNDANG-UNDANG ISLAM 1991
BAHAGIAN III - MAHKAMAH SYARIAH
Seksyen 47. Bidangkuasa Mahkamah Tinggi Syariah.
(1) Mahkamah Tinggi Syariah hendaklah mempunyai bidangkuasa di seluruh Negeri Pahang dan hendaklah di ketuai oleh Hakim Mahkamah Tinggi Syariah.
(2) Mahkamah Tinggi Syariah hendaklah -
(a)
dalam bidang kuasa jenayah, membicarakan semua kesalahan yang dilakukan oleh orang Islam dan boleh dihukum di bawah Enakmen ini atau Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam 1987 [
Enak.3/87.
] atau di bawah undang-undang bertulis lain yang memberi kepada Mahkamah Syariah bidangkuasa untuk membicarakan apa-apa kesalahan, dan boleh mengenakan apa-apa hukuman yang diperuntukkan di dalamnya; dan
(b)
dalam bidangkuasa mal, mendengar dan memutuskan semua tindakan dan prosiding dalam mana semua pihak adalah orang Islam dan yang berkaitan dengan -
(i) pertunangan, perkahwinan, perceraian, pembatalan perkahwinan (fasakh), atau perpisahan (faraq);
(ii) apa-apa pelupusan atau tuntutan terhadap mana-mana harta yang timbul daripada perkara yang disebut dalam subperenggan (i);
(iii) nafkah tanggungan, kesahtarafan atau penjagaan kanak-kanak (hadzanah);
(iv) pembahagian atau tuntutan terhadap harta sepencarian;
(v) wasiat atau pemberian semasa hampir maut (maradhul maut) seseorang si mati Islam;
(vi) pemberian semasa hidup atau penyelesaian yang dibuat tanpa balasan yang mencukupi dengan wang atau nilai wang oleh seseorang Islam;
(vii) wakaf atau nazar;
(viii) menentukan waris dan membahagikan harta berwasiat atau tidak berwasiat orang Islam; dan
(ix) perkara-perkara lain yang berkenaan dengannya bidangkuasa diberi oleh mana-mana undang-undang bertulis.
Copyright © PNMB-LawNet. All rights reserved.