ENAKMEN 8 TAHUN 1982
ENAKMEN PENTADBIRAN UGAMA ISLAM DAN ADAT RESAM MELAYU PAHANG 1982

BAHAGIAN IV - NIKAH, CERAI DAN RUJUK



Seksyen 59. Kuasa mengakad Nikah.


(1) Sesuatu nikah itu hanya boleh diakadkan mengikut Hukum Syara' oleh seorang Juru Nikah atau Wali Hakim bagi kawasan bidangkuasa masing-masing atau nikah-nikah itu boleh juga diakadkan oleh seorang wali atau wakilnya dengan syarat ia sudah mendapat kebenaran daripada Pendaftar kawasan itu.

(2) Seseorang Juru Nikah boleh mengakadkan nikah dengan permintaan wali perempuan yang hendak dikahwinkan itu tetapi sebelum mengakadkan nikah itu hendaklah ia membuat penyiasatan yang penuh supaya memuaskan hatinya bahawa tidak ada halangan yang sah mengikut Hukum Syara' terhadap perkahwinan itu dan tidak boleh ia melakukan akad nikah itu sehingga ia berpuas hati. Bagi tujuan penyiasatan itu, maka bolehlah ia berkehendakkan mana-mana orang Islam supaya hadir di hadapannya untuk memberi keterangan lisan atau bersurat.

(3) Jika tidak ada wali bagi perempuan yang akan dikahwinkan itu atau seorang wali enggan memberi izin kepada perkahwinan itu dengan tidak ada sebab yang cukup, maka nikah itu boleh diakadkan oleh Juru Nikah bagi kawasan di dalam mana perempuan yang akan dikahwinkan itu lazim tinggal tetapi sebelum mengakadkan nikah itu Juru Nikah itu hendaklah membuat penyiasatan sebagaimana yang ditetapkan di dalam seksyen-kecil (2) dengan syarat bahawa dalam kes di mana seorang wali itu enggan memberi izinnya, nikah itu cuma boleh diakadkan jika perempuan itu berumur enam belas tahun atau lebih.




Copyright © PNMB-LawNet. All rights reserved.