ENAKMEN 4 TAHUN 1994
KANUN ACARA JENAYAH (SYARIAH) 1994

BAHAGIAN I - PERMULAAN
BAB I



Seksyen 2. Tafsiran.

(1) Dalam Kanun ini, melainkan jika konteksnya menghendaki makna yang lain-

"aduan" ertinya pengataan yang dibuat secara lisan atau bertulis kepada Hakim Syarie dengan tujuan supaya tindakan diambil olehnya di bawah Kanun ini bahawa sese orang yang sama ada dikenali atau tak dikenali telah melakukan atau adalah bersalah melakukan suatu kesalahan;

"Enakmen 1965" ertinya Undang-Undang Pentadbiran Ugama Islam 1965[Enakmen 11/65];

"Enakmen Pentadbiran" ertinya Enakmen Pentadbiran Agama Islam 1992[Enakmen 2/92];

"Hakim Syarie" atau "Hakim" ertinya Hakim yang dilantik di bawah seksyen 41 (1) dan 42 (1) Enakmen Pentadbiran dan bagi maksud menandatangani apa-apa dokumen Mahkamah, hendaklah termasuk Pendaftar;

"kesalahan" ertinya apa-apa perbuatan atau peninggalan yang dijadikan boleh dihukum oleh mana-mana undang-undang bertulis yang sedang berkuatkuasa yang menetapkan kesalahan-kesalahan ke atas orang Islam dan yang ke atasnya Mahkamah Syariah mempunyai bidang kuasa;

"kesalahan boleh tangkap" ertinya kesalahan yang boleh dihukum penjara selama satu tahun atau lebih;

"kesalahan tak boleh tangkap" ertinya kesalahan yang boleh dihukum penjara selama kurang daripada satu tahun atau didenda sahaja;

"Ketua Hakim Syarie" mempunyai erti yang sama yang diberikan kepadanya dalam Enakmen Pentadbiran;

"Ketua Pendakwa Syarie" mempunyai erti yang sama yang diberikan kepadanya dalam Enakmen Pentadbiran;

"Mahkamah" atau "Mahkamah Syariah" mempunyai erti yang sama yang diberikan kepadanya dalam Enakmen Pentadbiran;

"Majlis" mempunyai erti yang sama yang diberikan kepadanya dalam Enakmen Pentadbiran;

"Mufti" mempunyai erti yang sama yang diberikan kepadanya dalam Enakmen Pentadbiran;

"Pegawai Penguatkuasa Agama" atau "Penolong Pegawai Penguatkuasa Agama" mempunyai erti yang sama yang diberikan kepadanya dalam Enakmen Pentadbiran;

"peguam syarie" mempunyai erti yang sama yang diberikan kepadanya dalam Enakmen Pentadbiran;

"Pendaftar" atau "pendaftar Mahkamah Syariah"ertinya Ketua Pendaftar Mahkamah Rayuan Syariah, Pendaftar Mahkamah Tinggi Syariah, atau Penolong Pendaftar Mahkamah Rendah Syariah, mengikut mana-mana yang berkenaan;

"pendakwa" ertinya Ketua Pendakwa Syarie, dan termasuklah Pendakwa Syarie dan mana-mana orang yang diberikuasa di bawah Kanun ini untuk bertindak bagi pihak Ketua Pendakwa Syarie;

"Pendakwa Syarie" mempunyai erti yang sama yang diberikan kepadanya dalam Enakmen Pentadbiran;

"pesalah muda" ertinya pesalah yang berumur kurang daripada lapan belas tahun;

"saman" termasuklah notis bagi kehadiran mana-mana orang di Mahkamah;

"saksi" tidak termasuk orang dituduh;

"Timbalan Pendakwa Raya" mempunyai erti yang sama yang diberikan kepadanya dalam Kanun Prosedur Jenayah[N.MB. Bab 6];

"Yang Dipertua" mempunyai erti yang sama yang diberikan kepadanya dalam Enakmen Pentadbiran.

(2) Segala perkataan, ungkapan, takrif dan istilah yang digunakan dalam Kanun ini dan tidak ditakrifkan dengan khusus hendaklah disifatkan mempunyai erti yang diberikan kepadanya dalam Akta Tafsiran 1948 dan 1967 [Akta 388](Penyatuan dan Penyemakan - 1989).

(3) Jika timbul apa-apa persoalan atau pertikaian dalam mentafsirkan perkataan-perkataan, ungkapan-ungkapan atau istilah-istilah berhubungan dengan Hukum Syara', maka Mahkamah yang membicarakan kes itu adalah mempunyai bidang kuasa untuk memberi takrif kepada perkataan, ungkapan atau istilah tersebut.




Copyright © PNMB-LawNet. All rights reserved.