ENAKMEN 3 TAHUN 1987
ENAKMEN UNDANG-UNDANG KELUARGA ISLAM 1987

BAHAGIAN V - PEMBUBARAN PERKAHWINAN



Seksyen 51. Ruju'.


(1) Jika selepas perceraian yang boleh diruju'kan peruju'an telah berlaku dengan persetujuan bersama, pihak-pihak itu hendaklah melaporkan hal peruju'an itu dan butir-butir yang berkaitan dengannya kepada Pendaftar mukim masjid di mana mereka bermastautin. Pendaftar hendaklah membuat apa-apa penyiasatan yang perlu dan, jika berpuas hati bahawa peruju'an telah berlaku mengikut Hukum Syara' , hendaklah mendaftarkan peruju'an itu dengan membuat suatu endorsmen pada catatan berhubungan dengan perceraian itu dalam Daftar Perceraian dan Pembatalan jika perceraian itu telah didaftarkan olehnya, dan hendaklah meminta pihak-pihak itu menyerahkan kepadanya Surat Perakuan Perceraian yang berkaitan dan hendaklah mengeluarkan kepada mereka Surat Perakuan Ruju' dalam borang yang ditetapkan. Pendaftar hendaklah juga menyerahkan satu salinan Surat Perakuan Ruju' itu kepada Ketua Pendaftar yang mana pula hendaklah membuat suatu endorsmen pada catatan berhubungan dengan perceraian itu dalam Daftar Perceraian dan Pembatalan yang disimpan olehnya.

(2) Mana-mana pihak yang tidak melaporkan peruju'an di bawah subseksyen (1) kepada Pendaftar dalam tempoh yang ditentukan adalah melakukan suatu kesalahan dan hendaklah apabila disabitkan dihukum denda tidak melebihi satu ribu ringgit atau penjara tidak melebihi enam bulan atau denda dan penjara itu kedua-duanya.

(3) Jika perceraian itu tidak didaftarkan oleh Pendaftar itu, ia hendaklah merekodkan dalam Surat Perakuan Perceraian nombor siri dan butir-butir Surat Perakuan Ruju' itu dan hendaklah menghantar Surat Perakuan Perceraian itu kepada Pendaftar yang telah mengeluarkannya bersama dengan satu salinan Surat Perakuan Ruju' itu dan Pendaftar yang satu lagi itu hendaklah selepas itu mendaftarkan peruju'an itu dengan membuat suatu endorsmen pada catatan berhubungan dengan perceraian itu dalam Daftar Perceraian dan Pembatalan. Pendaftar yang satu lagi itu hendaklah kemudiannya menyerahkan satu salinan Surat Perakuan Ruju' itu kepada Ketua Pendaftar yang mana pula hendaklah membuat suatu endorsmen pada catatan berhubungan dengan perceraian itu dalam Daftar Perceraian dan Pembatalan yang disimpan olehnya.

(4) Jika perceraian yang boleh diruju'kan telah berlaku tanpa diketahui oleh isteri, suami tidak boleh menghendaki atau meminta isteri supaya bersekedudukan semula dengannya tanpa menzahirkan kepadanya hal perceraian itu dan melafazkan ruju' .

(5) Jika selepas perceraian yang boleh diruju'kan suami melafazkan ruju' dan isteri bersetuju terhadap ruju' itu, isteri boleh, atas permohonan suami, diperintah oleh Mahkamah supaya hidup semula bersama sebagai suami isteri melainkan jika isteri itu menunjukkan sebab-sebab yang baik mengikut Hukum Syara' sebaliknya, dan jika demikian halnya, Mahkamah hendaklah melantik suatu jawatankuasa pendamai sebagaimana diperuntukkan di bawah seksyen 47 dan peruntukan-peruntukan subseksyen (5) hingga (15) seksyen itu hendaklah dipakai sewajarnya.

(6) Tiap-tiap Pendaftar hendaklah menyimpan suatu Daftar Ruju' dalam borang yang ditetapkan.




Copyright © PNMB-LawNet. All rights reserved.