ENAKMEN 2 TAHUN 1985
ENAKMEN UNDANG-UNDANG KELUARGA ISLAM (NEGERI PULAU PINANG) 1985

BAHAGIAN I - PERMULAAN



Seksyen 2. Tafsiran.

(1) Dalam Enakmen ini, melainkan jika konteksnya menghendaki makna yang berlainan -

"anak dara" ertinya seorang perempuan yang belum pernah bersetubuh, sama ada sudah berkahwin atau belum;

"balu" ertinya perempuan yang suaminya telah mati;

"bermastautin" ertinya tinggal tetap atau pada kelazimannya tinggal dalam sesuatu kawasan yang tertentu;


"darar syarie" ertinya bahaya yang menyentuh isteri mengenai agama, nyawa, tubuh badan, akal fikiran atau harta benda mengikut kebiasaan yang diakui oleh Hukum Syarak;

"duda" ertinya lelaki yang isterinya telah mati;

"Enakmen Pentadbiran" ertinya Enakmen Pentadbiran Hukum Syara' 1959 [Enakmen Penang No. 3/59.];

"fasakh" ertinya pembubaran nikah disebabkan oleh sesuatu hal keadaan yang diharuskan oleh Hukum Syara' mengikut seksyen 52;

"Hakim Syar'iah" ertinya seorang Kadi yang dilantik di bawah seksyen 38 Enakmen Pentadbiran dan termasuk Kadi Besar;


"Hukum Syarak" ertinya undang-undang Islam dalam mana-mana mazhab yang muktabar;

"harta sepencarian" ertinya harta yang diperolehi bersama oleh suami isteri semasa perkahwinan berkuatkuasa mengikut syarat-syarat yang ditentukan oleh Hukum Syara';

"janda" ertinya perempuan yang telah bernikah dan diceraikan setelah bersetubuh;

"kariah" berhubungan dengan sesuatu masjid, ertinya kawasan, yang sempadannya ditetapkan di bawah seksyen 109 Enakmen Pentadbiran, dalam mana masjid itu terletak;

"Ketua Pendaftar" ertinya seorang Ketua Pendaftar Perkahwinan, Penceraian atau Ruju' Orang Islam yang dilantik di bawah seksyen 28;

"Kitabiyah" ertinya -

"Mahkamah" ertinya Mahkamah Kadi atau Kadi Besar, mengikut mana yang berkenaan, yang ditubuhkan di bawah seksyen 39 Enakmen Pentadbiran;

"Majlis" ertinya Majlis Ugama Islam Pulau Pinang dan Seberang Perai yang ditubuhkan di bawah seksyen 4 Enakmen Pentadbiran;

"mas kahwin" ertinya pembayaran kahwin yang wajib dibayar di bawah Hukum Syara' oleh suami kepada isteri pada masa perkahwinan diakadnikahkan, sama ada berupa wang yang sebenarnya dibayar atau diakui sebagai hutang dengan atau tanpa cagaran, atau berupa sesuatu yang, menurut Hukum Syara', dapat dinilai dengan wang;

"mut'ah" ertinya bayaran saguhati yang diberi dari segi Hukum Syara' kepada isteri yang diceraikan;

"nasab" ertinya keturunan yang berasaskan pertalian darah yang sah;


"Pendaftar" ertinya seorang Pendaftar Perkahwinan, Perceraian dan Ruju' Orang Islam yang dilantik di bawah seksyen 28, dan termasuk Timbalan Pendaftar dan Penolong Pendaftar;

"persetubuhan syubhah" ertinya persetubuhan yang dilakukan di atas anggapan sah akad nikah akan tetapi sebenarnya akad itu tidak sah (fasid) atau persetubuhan yang berlaku secara tersilap dan termasuk mana-mana persetubuhan yang tidak dihukum Had dalam Islam;

"ruju'" ertinya perkembalian kepada nikah yang asal;

"sesusuan" ertinya penyusuan bayi dengan perempuan yang bukan ibu kandungnya sekurang-kurangnya sebanyak lima kali yang mengenyangkan dalam masa umur dua tahun ke bawah;

"ta'liq" ertinya lafaz perjanjian yang dibuat oleh suami selepas akad nikah mengikut Hukum Syara' dan peruntukan Enakmen ini;

"tak sahtaraf", berhubungan dengan seseorang anak, ertinya dilahirkan di luar nikah dan bukan anak dari persetubuhan syubhah;

"tarikh yang ditetapkan" ertinya tarikh yang ditetapkan di bawah seksyen 1 (2) untuk mula berkuatkuasanya Enakmen ini;

"thayyib" ertinya perempuan yang pernah bersetubuh;

"wali Raja" ertinya wali yang ditauliahkan oleh Yang di-Pertuan Agong, dalam hal Wilayah Persekutuan, Melaka, Pulau Pinang, Sabah dan Sarawak, atau oleh Raja, dalam hal sesuatu Negeri lain, untuk mengahwinkan perempuan tidak mempunyai wali dari nasab.
(2) Semua perkataan dan ungkapan yang digunakan dalam Enakmen ini dan yang tidak ditakrifkan dalamnya tetapi ditakrifkan dalam Akta Pentafsiran 1967 [23/67] hendaklah mempunyai erti yang diberi kepadanya masing-masing oleh Enakmen itu.

(3) Bagi mengelakkan keraguan tentang identiti atau pentafsiran perkataan-perkataan dan ungkapan-ungkapan yang digunakan dalam Enakmen ini yang disenaraikan dalam Jadual, rujukan bolehlah dibuat kepada bentuk skrip bahasa Arab bagi perkataan-perkataan dan ungkapan-ungkapan itu yang ditunjukkan bertentangan dengannya dalam Jadual itu.

(4) Yang di-Pertuan Agong boleh dari semasa ke semasa meminda, memotong daripada, atau menambah kepada Jadual itu.





Copyright © PNMB-LawNet. All rights reserved.