ENAKMEN 3 TAHUN 1989
ENAKMEN ACARA JENAYAH SYARIAH 1988

BAHAGIAN IV - PROSIDING DALAM PENDAKWAAN
Bab IX - DARIHAL PERTUDUHAN



Seksyen 77. Bentuk pertuduhan.

(1) Tiap-tiap pertuduhan di bawah Enakmen ini hendaklah menyatakan kesalahan orang yang dituduh itu dipertuduhkan.

(2) Jikalau undang-undang yang mewujudkan kesalahan itu memberi nama tertentu kepadanya, maka kesalahan itu boleh dinyatakan dalam pertuduhan itu dengan nama itu sahaja.

(3) Jikalau undang-undang yang mewujudkan kesalahan itu tidak menyatakan nama tertentu, maka tafsiran kesalahan itu hendaklah dinyatakan dengan jelas sehingga dapat memberi pengertian kepada orang yang dituduh berkenaan dengan perkara yang dia dipertuduhkan.

(4) Undang-undang dan seksyen undang-undang tentang kesalahan yang dilakukan itu hendaklah disebutkan dalam pertuduhan itu.

(5) Nyataan mengenai pertuduhan itu dibuat adalah bersamaan dengan suatu kenyataan bahawa tiap-tiap syarat yang dikehendaki mengikut undang-undang bagi mengwujudkan kesalahan yang dituduh itu telah dipenuhi dalam kes tertentu.

(6) Jikalau orang yang dituduh itu dahulunya telah disabitkan dengan mana-mana kesalahan dan sabitan yang dahulu itu hendak dibuktikan bagi menambahkan lagi hukuman yang lebih berat yang mana Mahkamah berkuasa menghukum, maka nyataan, tarikh dan tempat sabitan yang dahulu itu hendaklah dinyatakan dalam pertuduhan itu. Jika kenyataan itu tidak dinyatakan Mahkamah bolehlah menambah pada bila-bila masa sebelum hukuman dijatuhkan.





Copyright © PNMB-LawNet. All rights reserved.