ENAKMEN 3 TAHUN 1989
ENAKMEN ACARA JENAYAH SYARIAH 1988

BAHAGIAN VI - PERUNTUKAN-PERUNTUKAN TAMBAHAN
Bab XXIV - PELUPUSAN EXHIBIT DAN HARTA YANG MENJADI SABJEK KESALAHAN



Seksyen 186. Perintah pelupusan harta atas mana kesalahan yang telah dilakukan.

(1) Mana-mana Mahkamah boleh jika difikirkan patut menahan mana-mana harta atau dokumen yang dikemukakan ke Mahkamah di bawah Enakmen ini.

(2) Sewaktu atau pada tamatnya mana-mana pembicaraan di mana-mana Mahkamah, Mahkamah boleh membuat perintah sebagaimana yang difikirkan patut untuk penjagaan atau pelupusan mana-mana harta atau dokumen apa juapun yang dikemukakan di hadapannya atau di dalam jagaannya atau di dalam jagaan Penyelia Agama atau Polis atau mana-mana penjawat awam berhubung dengan mana-mana kesalahan yang telah dilakukan atau yang mana telah digunakan untuk melakukan mana-mana kesalahan.

Kuasa yang diberikan di sini kepada Mahkamah hendaklah termasuk kuasa membuat perintah untuk melucut hak atau merampas atau memusnahkan atau menyerahkan kepada mana-mana orang harta tersebut tetapi hendaklah dijalankan tertakluk kepada mana-mana peruntukan khas berhubung dengan lucut hak, perampasan, pemusnahan atau penyerahan yang terkandung di dalam undang-undang bertulis di bawah mana sabitan telah diputuskan.

(3) Mahkamah yang membuat perintah di bawah seksyen ini berhubung dengan mana-mana harta atau dokumen hendaklah mengarahkan sama ada perintah tersebut akan berkuatkuasa serta-merta atau pada mana-mana tarikh akan datang atau pada berlakunya mana-mana peristiwa yang akan berlaku dan hendaklah, kecuali harta itu ialah binatang-binatang ternakan atau harta yang mudah rosak, memasukkan di dalam perintah tersebut semua arahan-arahan yang perlu dan syarat-syarat untuk menentukan bahawa harta atau dokumen itu akan dikemukakan pada bila-bila masa yang diperlukan untuk tujuan pembicaraan sama ada sewaktu atau di penutup di mana perintah tersebut dibuat atau untuk tujuan mana-mana rayuan atau tindakan jenayah selanjutnya berikutan dari pembicaraan tersebut.

(4) Di dalam seksyen ini istilah "harta" termasuklah, mengenai harta berhubung dengan satu kesalahan yang telah pun dilakukan, bukan sahaja harta tersebut yang pada mulanya di dalam milik atau di bawah pengawasan mana-mana pihak tetapi juga mana-mana harta di dalam atau untuk mana harta itu mungkin telah diubah atau ditukar, dan apa juga yang diperolehi dengan pengubahan atau pertukaran tersebut, sama ada dengan serta-merta atau sebaliknya.





Copyright © PNMB-LawNet. All rights reserved.