ENAKMEN 5 TAHUN 1990
ENAKMEN UNDANG-UNDANG KELUARGA ISLAM 1990

BAB II - PERKAHWINAN



Seksyen 15. Pertunangan.

(1) Jika seseorang telah mengikat suatu pertunangan mengikut Hukum Syarak, sama ada secara lisan atau bertulis, dan sama ada secara bersendirian atau melalui seorang perantaraan, dan kemudiannya enggan berkahwin dengan pihak yang satu lagi itu tanpa apa-apa sebab yang sah manakala pihak yang satu lagi bersetuju berkahwin dengannya, maka pihak yang mungkir adalah bertanggungjawab memulangkan pemberian-pemberian pertunangan, jika ada, atau nilainya dan membayar apa-apa wang yang telah dibelanjakan dengan suci hati oleh atau untuk pihak yang satu lagi untuk membuat persediaan bagi perkahwinan itu dan yang demikian boleh dituntut melalui tindakan dalam Mahkamah.

(2) Jika pertunangan itu dituruti dengan akad nikah yang sah dan salah satu daripada kedua belah pihak enggan menyempurnakan syarat-syarat yang telah diperbuat pada masa pertunangan, maka segala kerugian boleh dituntut mengikut cara-cara yang disebutkan di dalam subseksyen (1).




Copyright © PNMB-LawNet. All rights reserved.