ENAKMEN 12 TAHUN 2003
ENAKMEN KETERANGAN MAHKAMAH SYARIAH (NEGERI SEMBILAN) 2003

BAHAGIAN III - PENGEMUKAAN DAN KESAN KETERANGAN
BAB 3 - PEMERIKSAAN SAKSI



Seksyen 106. Penyingkiran keterangan untuk menyangkal jawapan kepada soalan yang menguji kebenaran

Apabila seseorang saksi telah ditanya dan telah menjawab apa-apa soalan yang relevan kepada siasatan itu hanya setakat yang ia cenderung melemahkan kebolehpercayaannya dengan mencela wataknya, tiada keterangan boleh diberikan untuk menyangkalnya; tetapi jika dia memberikan jawapan palsu, maka dia boleh kemudiannya dipertuduh kerana memberikan keterangan palsu.

Kecualian 1—Jika seorang saksi ditanya sama ada dia dahulunya telah disabitkan atas apa-apa jenayah dan dia menafikannya, maka keterangan boleh diberikan mengenai sabitannya yang dahulu itu.

Kecualian 2—Jika seorang saksi ditanya apa-apa soalan yang boleh mencabar kesaksamaannya dan dia menjawab dengan menafikan fakta-fakta yang disarankan itu, maka dia boleh disangkal.

MISALAN

(a) Seorang saksi ditanya sama ada dia pernah dibuang kerja kerana kecurangan. Dia menafikannya.

Keterangan diberikan untuk menunjukkan bahawa dia pernah dibuang kerja kerana kecurangan.

Keterangan itu tidak boleh diterima.

(b) A menegaskan bahawa pada suatu hari tertentu dia telah melihat B di Negeri Sembilan. A ditanya sama ada dia sendiri berada di Pulau Pinang pada hari itu. Dia menafikannya.

Keterangan diberikan bagi menunjukkan bahawa A berada di Pulau Pinang pada hari itu.

Keterangan itu boleh diterima, bukan untuk menyangkal A atas suatu fakta yang menyentuh kebolehpercayaannya tetapi untuk menyangkal fakta yang dikatakan bahawa B telah dilihat di Negeri Sembilan pada hari yang berkenaan itu.

(c) A ditanya sama ada dia pernah berkata bahawa dia akan membalas dendam terhadap B yang terhadapnya dia memberikan keterangan. Dia menafikannya.

Dia boleh disangkal atas alasan bahawa soalan itu cenderung mencabar kesaksamaannya.




Copyright © PNMB-LawNet. All rights reserved.