ENAKMEN 5 TAHUN 1996
ENAKMEN KETERANGAN MAHKAMAH SYARIAH (NEGERI PULAU PINANG) 1996

BAHAGIAN III - PENGEMUKAAN DAN KESAN KETERANGAN
BAB 7 - SAKSI



Seksyen 83. Siapa yang boleh memberi keterangan sebagai saksi.

(1) Tertakluk kepada peruntukan seksyen ini, semua orang Islam adalah kompeten memberi syahadah atau bayyinah sebagai saksi dengan syarat mereka hendaklah akil, baligh, adil, mempunyai ingatan yang baik dan tidak menimbulkan tohmah.

Huraian-Seseorang Islam adalah disifatkan adil jika dia menunaikan obligasi agamanya, melaksanakan tanggungjawab keagamaan yang ditetapkan, menahan diri daripada melakukan dosa besar dan tidak berkekalan melakukan dosa kecil.

(2) Seseorang yang bukan Islam adalah kompeten memberi bayyinah untuk seseorang Islam jika keterangannya boleh diterima mengikut Hukum Syara'.

Huraian-Bayyinah seorang pakar bukan Islam terhadap seorang Islam boleh diterima jika perIu.

(3) Seseorang yang tidak adil adalah kompeten memberi bayyinah tetapi tidak kompeten memberi syahadah.

(4) Seseorang yang belum baligh atau seseorang yang tak sempurna akal adalah kompeten memberi bayyinah tetapi tidak kompeten memberi syahadah.

Huraian-Bayyinah seorang kanak-kanak dalam kes kecederaan yang dilakukan oleh beberapa orang kanak-kanak ke atas yang lain boleh diterima dengan syarat mereka tidak berselisih faham dan mereka berada di tempat kejadian itu.

(5) Seseorang yang mempunyai lemah ingatan atau pelupa atau mengidap hilang ingatan adalah kompeten memberi bayyinah tetapi tidak kompeten memberi syahadah.

(6) Seseorang yang kebolehpercayaannya diragui kerana hubungan baiknya dan mempunyai kepentingan dengan pihak menentang adalah kompeten memberi bayyinah tetapi tidak kompeten memberi syahadah bagi pihak itu.

(7) Seseorang yang kebolehpercayaannya diragui kerana hubungan buruk dengan pihak menentang adalah kompeten memberi bayyinah tetapi tidak kompeten memberi syahadah.




Copyright © PNMB-LawNet. All rights reserved.