ENAKMEN 5 TAHUN 1984
ENAKMEN ACARA SIVIL SYARIAH 1984

BAHAGIAN XXIII - PERLAKSANAAN OLEH MAHKAMAH-MAHKAMAH LAIN



Seksyen 183. Perlaksanaan oleh Mahkamah Bawahan.

(1) Apabila perintah pelaksanaan tidak dikeluarkan, atau pengembalian telah dilakukan pada tiap-tiap perintah pelaksanaan yang dikeluarkan, Mahkamah boleh menghantar penghakiman itu kepada mana-mana Mahkamah yang sama bidangkuasanya atau untuk sebab yang baik kepada mana-mana Mahkamah bawahan yang lain dan memohon supaya penghakiman itu dilaksanakan.

(2) Perintah tersebut boleh dibuat atas alasan kesenangan dan mengurangkan perbelanjaan, tanpa menghiraukan bahawa Mahkamah yang meminta itu boleh dengan sendirinya melaksanakan penghakiman itu dengan cara yang sama dan terhadap harta yang sama seperti Mahkamah yang menerima permintaan itu.

(3) Apabila perintah tersebut dibuat, prosiding di bawah seksyen 131 atau Bahagian XX atau XXI tidak boleh dilakukan dalam Mahkamah yang meminta itu sebelum pengembalian permintaan itu.

(4) Permintaan itu hendaklah dibuat dalam Borang 29 dan hendaklah disertakan dengan suatu salinan penghakiman yang diperakukan.

(5) Mahkamah yang menerima hendaklah memfail dan mendaftarkan prosiding itu dan kemudiannya melaksanakan penghakiman itu secara menyeluruh seolah-olah ianya telah dikeluarkan oleh Mahkamah yang menerima itu dan boleh dengan cara yang sama meneruskan di bawah seksyen 131 Bahagian XXI dan Bahagian XXV.

(6) Mahkamah yang menerima hendaklah dengan sendirinya menyelenggarakan hasil pelaksanaan. Bagi maksud tersebut penghakiman hendaklah mempunyai keutamaan sama dengan tarikh dan masa kemasukkan prosiding itu dalam Mahkamah yang menerima itu.

(7) Mahkamah yang menerima hendaklah terikat dengan mana-mana perintah Mahkamah rayuan seperti juga Mahkamah yang meminta itu.

(8) Apabila selesai prosiding dalam Mahkamah yang menerima itu, Mahkamah tersebut hendaklah menghantar kepada Mahkamah yang meminta suatu pengembalian permintaan itu dalam Borang 18 dan jika perlu, suatu laporan mengenai keputusan mana-mana prosiding sampingan.

(9) Jika penghakiman itu tidak disempurnakan, Mahkamah yang meminta itu boleh mengeluarkan suatu permintaan kepada Mahkamah lain, atau dengan alasan yang mencukupi boleh mengeluarkan permintaan selanjutnya kepada Mahkamah itu juga, tetapi supaya kedua-dua permintaan itu tidak boleh dilaksanakan serentak.




Copyright © PNMB-LawNet. All rights reserved.