ENAKMEN 14 TAHUN 1978
ENAKMEN PENTADBIRAN IGAMA ISLAM 1978

BAHAGIAN V - NIKAH, CERAI DAN RUJUK



Seksyen 125. Cerai dengan Syikak dan melantik Hakam (Timbangtara).

(1) Apabila seseorang suami telah melakukan sebarang penganiayaan ke atas isteri atau menyakiti atau melakukan sebarang mudharat kepada tubuh-badan atau kehormatan atau harta-benda isteri samada dengan perkataan atau perbuatan dan isteri itu tidak sanggup untuk hidup bersama dan meneruskan perhubungan sebagai suami-isteri, bolehlah isteri itu mengadu menuntut cerai kepada Mahkamah dan manakala sabit aduannya dan Mahkamah gagal mendamaikan di antara kedua-duanya, Mahkamah bolehlah menjatuhkan hukum cerai dengan satu Talak Ba'in.

(2) Jika didapati bahawa aduan isteri itu tidak sabit dan ditolak oleh Mahkamah dengan sebab ia tidak dapat membuktikan kebenarannya dan kemudian daripada itu isteri berulang-ulang membuat aduan yang sama dan Mahkamah mendapati pertikaian sentiasa berlaku di antara suami-isteri tersebut, Mahkamah bolehlah melantik dua orang Hakam (timbangtara) yang layak dan berkebolehan dalam perkara Hakam, seorang bagi pihak suami dan seorang bagi pihak isteri mengikut Hukum Syarak.

(3) Mahkamah boleh memerintahkan kepada Hakam-hakam itu berkenaan cara-cara menjalankan perdamaian atau penyelesaian dan hendaklah Hakam-hakam menyempurnakan perintah-perintah itu mengikut Hukum Syarak, menjalankan penyiasatan untuk mengetahui sebab-sebab syikak atau punca pertikaian antara suami-isteri itu, dan hendaklah berusaha bersungguh-sungguh pada mendamaikan kedua-duanya hingga berjaya.

(4) Jika didapati bahawa Hakam-hakam itu tidak semuafakat dan berlaku pertentangan pendapat di antara satu dengan lain, Mahkamah hendaklah memerintahkan supaya kedua-duanya mengulangi usaha mereka dan jika sekiranya kemudiannya daripada itu didapati pertentangan di antara mereka masih berlaku, Mahkamah hendaklah memecat kedua-duanya dan melantik Hakam-hakam yang lain.

(5) Jika didapati bahawa Syikak atau pertikaian antara suami-isteri itu tidak dapat didamaikan, dan Hakam-hakam mengetahui bahawa Syikak atau pertikaian itu berpunca daripada suami atau daripada kedua-duanya atau tidak diketahui daripada mana-mana pihak dan Hakam-hakam itu berpendapat sukar mencapai perdamaian, hendaklah Hakam-hakam itu membuat keputusan cerai dengan satu Talak Ba'in tanpa 'iwadh dan dirujukkan kepada Mahkamah. Mahkamah hendaklah menjatuhkan hukuman mengikut keputusan Hakam-hakam tersebut.

(6) Jika didapati bahawa perkara Syikak atau pertikaian itu berpunca daripada pihak isteri dan tiada harapan untuk didamaikan melainkan dengan cerai dan tiada halangan daripada suami, Hakam-hakam tersebut hendaklah membuat keputusan cerai satu Talak Ba'in dengan Khulu', keputusan tersebut dirujukkan kepengetahuan Mahkamah dan Mahkamah hendaklah menjatuhkan hukuman menurut keputusan Hakam-hakam.





Copyright © PNMB-LawNet. All rights reserved.