ENAKMEN 9 TAHUN 1993
ENAKMEN PROSEDUR MAL SYARIAH 1993

BAHAGIAN XIX - PERLAKSANAAN



Seksyen 155. Penjara.

(1) Di dalam seksyen ini "penghutang penghakiman" termasuk seorang garnishee yang terhadapnya suatu perintah telah dibuat melalui saman garnishmen.

(2) Jika seorang penghutang penghakiman didapati bersalah kerana menghina Mahkamah di bawah peruntukan Bahagian ini atau dengan sengaja enggan atau cuai mematuhi mana-mana perintah Mahkamah yang mengarahkannya membuat atau tidak membuat sesuatu perbuatan, pemiutang penghakiman boleh menyerah kepada Pendaftar dan Pendaftar boleh memeterai, menandatangani dan mengeluarkan suatu notis penghakiman dalam borang yang ditetapkan yang mengarahkan penghutang penghakiman supaya menunjukkan sebab-sebab mengapa dia tidak patut dipenjarakan. Saman yang demikian hendaklah menyatakan alasan-alasan permohonan itu dan hendaklah diserah ke atas diri penghutang penghakiman sekurang-kurangnya 2 hari genap sebelum prosiding itu. Pendaftar boleh dengan budibicaranya menghendaki alasan-alasan permohonan itu dibuktikan dengan afidavit.

(3) Mahkamah semasa membicara saman tersebut boleh mendapat keterangan-keterangan yang ia fikir patut dan boleh memerintah penghutang penghakiman ke penjara sivil atau boleh mengenakan beliau syarat-syarat yang tertentu atau menerima darinya akujanji yang Mahkamah fikir patut.

(4) Hukuman penjara di bawah seksyen ini tidak boleh ditakrifkan sebagai menyelesaikan hutang penghakiman atau mana-mana bahagiannya.

(5) Seorang yang telah dipenjarakan di bawah Bahagian ini boleh memohon untuk dibebaskan dengan membuktikan bahawa dia telah mematuhi perintah Mahkamah itu.




Copyright © PNMB-LawNet. All rights reserved.