ENAKMEN 4 TAHUN 1994
KANUN ACARA JENAYAH (SYARIAH) 1994

BAHAGIAN IV - PROSIDING DALAM PENDAKWAAN
BAB XIV - DARIHAL HUKUMAN DAN PENJALANANNYA



Seksyen 126. Pesalah pertama kali.

(1) Apabila mana-mana orang yang bukan seorang pesalah muda, telah disabitkan atas apa-apa kesalahan yang boleh dihukum dengan hukuman pemenjaraan di hadapan mana-mana Mahkamah, jika ternyata kepada Mahkamah tersebut bahawa, memandang kepada sifat perangai, latar belakang, umur, kesihatan atau keadaan mental pesalah itu, atau kepada kecilnya sifat kesalahan itu, atau kepada apa-apa hal keadaan peringanan yang di bawahnya kesalahan itu telah dilakukan, adalah suaimanfaat bahawa pesalah itu dilepaskan dalam cubaan akhlak, Mahkamah boleh, dengan tidak menghukumnya serta-merta dengan apa-apa hukuman, mengarahkan supaya pesalah itu dilepaskan apabila dia mengikat bon dengan penjamin-penjamin; dan dalam tempoh tersebut, sebagaimana yang diarahkan oleh Mahkamah, supaya hadir dan menerima penghakiman jika dan apabila dipanggil, dan sementara itu, hendaklah berkelakuan baik.

(2) Jika Mahkamah yang mempunyai kuasa untuk memperlakukan pesalah itu berkenaan dengan kesalahan asalnya berpuas hati bahawa pesalah itu telah gagal untuk mematuhi mana-mana syarat bonnya, ia bolehlah mengeluarkan satu waran bagi penangkapannya.

(3) Mana-mana pesalah apabila ditangkap dengan mana-mana waran sedemikian hendaklah, jika tidak dibawa dengan segera ke hadapan Mahkamah yang mempunyai kuasa untuk menghukumnya, dibawa ke hadapan seorang Hakim, dan Hakim tersebut boleh sama ada menahannya melalui waran sehingga masa dia dikehendaki oleh bonnya untuk hadir bagi penghakiman atau sehingga bersidangnya Mahkamah yang mempunyai kuasa untuk menghukum atas kesalahan asalnya, atau boleh membenarkan dia mengikat jamin dengan penjamin yang mencukupi, dengan syarat dia hadir bagi penghakiman.

(4) Pesalah itu, apabila ditahan sedemikian, bolehlah dimasukkan ke penjara dan waran tahanan itu hendaklah memerintahkan supaya dia dibawa ke hadapan Mahkamah yang di hadapannya dia telah diikat untuk hadir bagi penghakiman atau untuk menjawab tentang kelakuannya semenjak dia dilepaskan.




Copyright © PNMB-LawNet. All rights reserved.