ENAKMEN 1 TAHUN 1990
ENAKMEN KETERANGAN MAHKAMAH SYARIAH 1990

BAHAGIAN II - MENGENAI BUKTI
BAB 5 - KETERANGAN DOKUMENTAR



Seksyen 56. Membuktikan dokumen.

(1) Jika seseorang menafikan tulisan, penyempurnaan atau liabiliti yang diwujudkan di dalam sesuatu dokumen, tulisan dan penyempurnaan dokumen tersebut hendaklah dibuktikan oleh sekurang-kurangnya dua orang saksi kepada dokumen itu.

(2) Jika saksi kepada dokumen itu tidak boleh didapati, tulisan dan penyempurnaan dokumen itu hendaklah dibuktikan oleh dua orang saksi yang mengenali tulisan dan tandatangan orang yang menulis dan menyempurnakan dokumen itu.

(3) Jika saksi kepada dokumen itu atau orang yang disebut dalam subseksyen (2) menyaksikan tulisan dan tandatangan itu, orang yang menyempurnakan dokumen tersebut hendaklah terikat dengan liabiliti yang diwujudkan.

(4) Jika saksi kepada dokumen itu atau orang yang disebut dalam subseksyen (2) tidak menyaksikan tulisan dan tandatangan dokumen itu sepenuhnya, tulisan dan tandatangan dokumen itu hendaklah diperakui sah oleh seboleh-bolehnya dua orang pakar.

(5) Jika pakar memperakukan sah tulisan dan tandatangan dokumen itu, orang yang menyempurnakan dokumen itu hendaklah terikat dengan liabiliti yang diwujudkan.

(6) Jika dokumen itu tidak boleh dibuktikan dengan cara yang tersebut dalam seksyen ini, orang yang menafikan tulisan itu dan penyempurnaan dokumen itu hendaklah, apabila diminta oleh plaintif, mengangkat sumpah dan jika dia tidak mahu bersumpah, sumpah itu dikembalikan kepada plaintif dan selepas sumpah itu dibuat sabitlah tuntutannya.




Copyright © PNMB-LawNet. All rights reserved.