ENAKMEN 2 TAHUN 2001
ENAKMEN PENTADBIRAN HAL EHWAL AGAMA ISLAM (TERENGGANU)

BAHAGIAN V - KEWANGAN
Kumpulan Wang Majlis Dan Tatacara Kewangan Majlis



Seksyen 58. Penubuhan Kumpulan Wang Majlis.

(1) Suatu kumpulan wang bernama Kumpulan Wang Majlis adalah dengan ini ditubuhkan.

(2) Kumpulan Wang Majlis hendaklah terdiri daripada semua wang dan harta, alih atau tak alih, yang menurut Hukum Syarak atau di bawah Enakmen ini atau peraturan-peraturan atau kaedah-kaedah yang dibuat di bawahnya, terakru, atau disumbangkan oleh mana-mana orang, kepada Kumpulan Wang Majlis.

(3) Semua wang dan harta dalam Kumpulan Wang Majlis hendaklah terletak hak pada Majlis yang hendaklah mentadbirkan semua wang dan harta itu mengikut peraturan-peraturan yang dibuat di bawah Enakmen ini.

(4) Walau apa pun peraturan yang disebut dalam subseksyen (3), mana-mana pelaburan, aset atau kumpulan wang yang terletak hak pada Majlis boleh dijual, dihasil dan dilupuskan, dan hasil-hasil daripadanya boleh dilaburkan dari semasa ke semasa dalam mana-mana undang-undang bertulis yang sedang berkuat kuasa bagi pelaburan wang amanah dan Hukum Syarak.

(5) Tertakluk kepada peruntukan-peruntukan Enakmen ini, Majlis, dengan kelulusan Duli Yang Maha Mulia Sultan boleh membuat peraturan-peraturan tentang pemungutan, pentadbiran dan pembahagian semua harta Kumpulan Wang Majlis.





Copyright PNMB-LawNet. All rights reserved.