Tr. P.U. 4/2002
ENAKMEN KESALAHAN JENAYAH SYARIAH (HUDUD DAN QISAS) TERENGGANU 1423H/2002M

BAHAGIAN IX



Seksyen 47. Iqrar.

(1) Sebaik-baik keterangan untuk menyabitkan tertuduh dan menyebabkan dia boleh dihukum dengan hukuman hudud ialah iqrarnya sendiri.

(2) Iqrar itu hendaklah dibuat dengan sukarela dan tanpa apa-apa paksaan di hadapan seorang pegawai kehakiman dan kemudiannya diulang di hadapan Hakim pada masa perbicaraan dijalankan; dan jika perbicaraan itu mengenai kes zina maka iqrar itu hendaklah diulang sebanyak empat kali di hadapan Hakim pada masa perbicaraan dijalankan:

Dengan syarat bahawa iqrar itu hendaklah dibuat dan diulang dengan tidak ada apa-apa ugutan, janji atau dorongan; dan hendaklah dengan nyatanya membuktikan secara terperinci bahawa tertuduh itu benar-benar telah melakukan kesalahan yang dengannya dia telah dituduh, dan dia faham bahawa dia akan dihukum kerana membuat iqrar itu.

(3) Iqrar itu hanyalah boleh diterima sebagai keterangan terhadap tertuduh yang membuat iqrar itu sahaja, dan tidak boleh digunakan terhadap orang lain; dan untuk menjadikannya sah maka iqrar itu hendaklah bukan satu iqrar yang ditarik balik.




Copyright © PNMB-LawNet. All rights reserved.