ENAKMEN 8 TAHUN 1982
ENAKMEN PENTADBIRAN UGAMA ISLAM DAN ADAT RESAM MELAYU PAHANG 1982

BAHAGIAN X - ACARA DALAM PEMBICARAAN JENAYAH



Seksyen 202. Pembicaraan.


(1) Dalam kes-kes yang berkehendakkan keizinan mendakwa, maka pembicaraan kes itu tidaklah boleh dimulakan selagi surat keizinan itu belum diperolehi dan serahkan kepada Mahkamah.

(2) Apabila orang yang dituduh itu dihadapkan ke Mahkamah, maka tuduhan itu hendaklah dibacakan dan dihuraikan kepadanya, dan ia hendaklah disoal sama ada ia mengaku salah kepada kesalahan sebagaimana yang dituduh atau ia meminta dibicarakan.

(3) Jika yang dituduh mengaku salah sama ada kepada tuduhan yang asal atau sebagaimana yang dipinda maka pengakuannya itu hendaklah dicatatkan dan ia boleh dihukum.

(4) Jika yang dituduh enggan membuat pengakuannya atau tidak membuat pengakuan kepada tuduhan terhadapnya atau meminta dibicarakan, maka mahkamah hendaklah menjalankan pembicaraan dengan mendengar dan mengambil apa-apa keterangan yang dikemukakan mengikut undang-undang oleh pihak pendakwa.

(5) Yang dituduh hendaklah diberi peluang memeriksa balas semua saksi-saksi yang memberi keterangan bagi pihak pendakwa dan selepas itu pihak pendakwa hendaklah diberi peluang pula untuk memeriksa semula saksi-saksinya itu dan juga memanggil semula mana-mana saksinya yang telah selesai memberi keterangan.

(6) Jika, selepas mangambil semua keterangan-keterangan bagi pihak Pendakwa seperti yang dinyatakan di atas, Mahkamah berpendapat bahawa tuduhan terhadap yang dituduh tidak terbukti, maka Mahkamah hendaklah mengarahkan bagi yang dituduh dibebaskan dan arahan itu hendaklah direkodkan.

(7) Jika, selepas mengambil semua keterangan-keterangan bagi pihak pendakwa seperti yang dinyatakan di atas, Mahkamah berpendapat bahawa ada alasan-alasan untuk menganggap orang yang dituduh itu sudah melakukan kesalahan seperti yang dituduh, maka Mahkamah itu hendaklah merekodkan pendapatnya itu dan memberitahu yang dituduh akan pendapatnya itu serta menyatakan padanya yang ia boleh membuat pembelaannya.

(8) Jika mengikut dalam seksyen-kecil (7) Mahkamah sebaliknya pula berpendapat bahawa ada alasan-alasan untuk menganggap orang yang dituduh itu sudah melakukan kesalahan lain daripada yang dituduh yang mana Mahkamah itu juga berkuasa membicarakannya dan jika pada fikirannya Mahkamah itu sendiri patut membicarakannya, maka Mahkamah itu bolehlah meminda tuduhan yang ada itu jika difikirkan mustahak. Jika pindaan dibuat, maka Mahkamah itu hendaklah membacakan tuduhan yang dipinda itu dan menyoal sama ada ia mengaku salah atau tidak. Jika ia mengaku salah ia bolehlah dihukum. Jika ia tidak mengaku salah maka Mahkamah hendaklah menyatakan padanya yang ia boleh membuat pembelaannya.

(9) Apabila orang yang dituduh itu diberitahu yang ia boleh membuat pembelaannya mengikut seksyen-kecil (7) atau (8), maka Mahkamah itu hendaklah menyatakan padanya bahawa ia berhak membuat pembelaannya dengan tiga cara iaitu ia boleh -



(10) Jika yang dituduh memilih berdiam diri mengikut seksyen-kecil (9) (a), Mahkamah itu bolehlah menghukumnya.

(11) Jika yang dituduh memilih memberi keterangannya dengan tidak bersumpah atau berikrar mengikut seksyen-kecil (9) (b), ia tidaklah boleh disoal oleh pihak pendakwa. Keterangannya itu bolehlah diberi dengan secara lisan atau bertulis. Jika bertulis kenyataan itu hendaklah dikembarkan bersama dengan rekod keterangan mahkamah. Selepas itu ia bolehlah memanggil saksi-saksinya jika ada, untuk memberi keterangan.

(12) Jika yang dituduh memilih memberi keterangannya dengan bersumpah atau berikrar mengikut seksyen-kecil (9) (c), maka pihak pendakwa bolehlah memeriksa balas dan kemudiannya ia hendaklah diberi peluang membuat pemeriksaan semula. Selepas itu ia bolehlah memanggil saksi-saksinya jika ada, untuk memberi keterangan.

(13) Selepas tiap-tiap saksi pembela memberi keterangannya, pihak pendakwa hendaklah diberi peluang memeriksa balas saksi itu dan ianya bolehlah diperiksa semula kemudiannya dan juga pihak pembela bolehlah dibenarkan memanggil semula mana-mana saksinya yang telah selesai memberi keterangan.

(14) Sesudah selesai pihak pembela mengemukakan keterangannya, ia bolehlah membuat ulasan dan hujahan di atasnya itu.

(15) Pihak pendakwa adalah berhak membuat ulasan dan hujahan dan membuat jawapan yang terakhir bagi keseluruhan kes itu.

(16) (a)Jika Mahkamah itu berpendapat bahawa orang yang dituduh itu tidak bersalah maka hendaklah mengarahkan bagi yang dituduh dibebaskan dan merekodkan arahan itu.

(b)Jika Mahkamah itu berpendapat bahawa orang yang dituduh itu bersalah maka hukuman boleh dijatuhkan ke atasnya.

(17) Sebelum Mahkamah menjatuhkan hukuman mengikut undang-undang dalam tiap-tiap satu kes, maka Mahkamah hendaklah menyatakan kepada yang dituduh yang ia telah didapati salah dan disamping itu memberi kesempatan kepadanya sama ada ia hendak mambuat rayuan untuk meringankan hukuman ke atasnya. Pihak Pendakwa juga hendaklah diberi peluang untuk memberitahu Mahkamah akan rekod hukuman dahulu ke atasnya yang dituduh jika ada itu menyatakan pendapatnya akan hukuman yang sewajarnya ke atas kesalahan yang hendak dihukum itu.




Copyright © PNMB-LawNet. All rights reserved.