ENAKMEN 4 TAHUN 1992
ENAKMEN PENTADBIRAN UNDANG-UNDANG KELUARGA ISLAM 1991
BAHAGIAN VII - PENJAGAAN
Hadanah atau penjagaan kanak-kanak
Seksyen 86. Kuasa Mahkamah membuat perintah mengenai penjagaan.
(1) Walau apapun peruntukan Seksyen 81, Mahkamah boleh pada bila-bila masa dengan perintah memilih untuk meletakkan seseorang kanak-kanak dalam jagaan salah seorang daripada orang-orang yang tersebut di dalam seksyen itu atau, jika ada hal keadaan yang luar biasa yang menyebabkan tidak diingini bagi kanak-kanak itu diamanahkan kepada salah seorang daripada orang-orang itu, Mahkamah boleh dengan perintah meletakkan kanak-kanak itu dan dalam jagaan mana-mana orang lain atau mana-mana persatuan yang tujuan-tujuannya adalah termasuk kebajikan kanak-kanak.
(2) Untuk memutuskan dalam jagaan siapakah seseorang kanak-kanak patut diletakkan, pertimbangan yang utama ialah kebajikan kanak-kan
ak itu dan, tertakluk kepada pertimbangan itu, Mahkamah hendaklah memberi perhatian kepada-
(a)
kemahuan-kemahuan ibu bapa kanak-kanak itu; dan
(b)
kemahuan-kemahuan kanak-kanak itu, jika dia telah meningkat umur dapat menyatakan sesuatu pendapatnya sendiri.
(3) Adalah menjadi suatu anggapan yang boleh dipatahkan bahawa adalah untuk kebaikan seseorang kanak-kanak dalam masa ia kecil supaya berada bersama ibunya, tetapi pada memutuskan sama ada anggapan itu dipakai bagi fakta-fakta sesuatu kes tertentu, Mahkamah hendaklah memberi perhatian kepada tidak baiknya mengacau kehidupan seseorang kanak-kanak dengan bertukar-tukarnya jagaan.
(4) Jika ada dua orang atau lebih kanak-kanak dari sesuatu perkahwinan, Mahkamah tidaklah terikat meletakkan kedua-dua atau kesemuanya dalam jagaan orang yang sama tetapi hendaklah menimbangkan kebajikan tiap-tiap seorangnya secara berasingan.
(5) Jika dipandang perlu, Mahkamah boleh membuat perintah sementara meletakkan seorang kanak-kanak di dalam jagaan mana-mana orang atau institusi atau persatuan dan perintah itu akan berkuatkuasa dengan serta merta dan terus berkuatkuasa sehingga perintah Mahkamah dibuat atas permohonan untuk penjagaan itu.
Copyright © PNMB-LawNet. All rights reserved.