ENAKMEN 4 TAHUN 1994
KANUN ACARA JENAYAH (SYARIAH) 1994

BAHAGlAN II - PERUNTUKAN-PERUNTUKAN AM MENGENAI MAHKAMAH JENAYAH
BAB V - DARIHAL PROSES UNTUK MEMAKSA PENGEMUKAAN DOKUMEN DAN LAIN-LAIN HARTA ALIH DAN BAGI PENEMUAN ORANG YANG DlKURUNG DENGAN SALAH



Seksyen 41. Saman supaya mengemukakan dokumen atau benda-benda lain.

(1) Apabila mana-mana Mahkamah atau Pegawai Penguatkuasa Agama atau pegawai polis yang membuat penyiasatan di bawah Kanun ini berpendapat bahawa pengemukaan mana-mana harta atau dokumen adalah perlu atau wajar bagi maksud apa-apa penyiasatan, siasatan perbicaraan atau lain-lain prosiding di bawah Kanun ini oleh atau di hadapan Mahkamah atau pegawai itu, maka Mahkamah itu boleh mengeluarkan suatu saman, atau pegawai itu boleh mengeluarkan suatu perintah bertulis, kepada orang yang dalam milikan atau kuasanya harta atau dokumen itu dipercayai berada, menghendaki orang itu hadir dan mengemukakannya, atau hanya mengemukakannya, pada masa dan tempat yang dinyatakan dalam saman atau perintah itu.

(2) Mana-mana orang yang dikehendaki di bawah seksyen ini untuk hanya mengemukakan mana-mana harta atau dokumen hendaklah disifatkan telah mematuhi permintaan itu jika dia menyebabkan harta atau dokumen itu dikemukakan dan dia tidak hadir sendiri untuk mengemukakannya.

(3) Tiada apa-apa jua dalam seksyen ini boleh disifatkan menyentuh peruntukan-peruntukan mana-mana undang-undang berhubungan dengan keterangan yang sedang berkuatkuasa atau undang-undang yang terpakai bagi apa-apa barang pos, telegram atau dokumen lain dalam jagaan pihak-pihak berkuasa pos atau telegraf.




Copyright © PNMB-LawNet. All rights reserved.