ORDINAN 5 TAHUN 1991
ORDINAN UNDANG-UNDANG KELUARGA ISLAM 1991

BAHAGIAN II - PERKAHWINAN
Permulaan kepada Perkahwinan



Seksyen 14. Permohonan untuk kebenaran berkahwin.

(1) Apabila dikehendaki untuk mengakadnikahkan sesuatu perkahwinan di dalam atau di luar Negeri Malaysia, tiap-tiap orang yang bermastautin di Negeri Sarawak yang ingin berkahwin di luar Negeri Sarawak hendaklah memohon dalam borang yang ditetapkan kebenaran untuk berkahwin kepada Pendaftar bagi kawasan di mana pihak berkenaan itu bermastautin.

(2) Jika pihak lelaki bermastautin di kawasan yang berlainan dari kawasan pihak perempuan, atau bermastautin di mana-mana Negeri, permohonan hendaklah mengandungi atau disertai dengan penyataan Pendaftar bagi kawasan atau oleh pihak berkuasa yang hak bagi Negeri itu, Hakim Syarie mengikut mana yang berkenaan yang bermaksud bahawa sejauh yang dapat dipastikannya perkara-perkara yang disebut dalam permohonan itu adalah benar.

(3) Pendaftar tersebut tidak boleh mengakadnikahkan mana-mana orang yang datang daripada luar Negeri Sarawak kecuali dengan kebenaran bertulis daripada Kadi di tempat orang yang hendak dinikahkan itu lazimnya tinggal:

Dengan syarat bahawa jika tempat sedemikian itu tidak mempunyai Kadi maka kebenaran itu hendaklah diperolehi dari mana-mana pihak yang berkuasa di tempat itu.

(4) Permohonan tiap-tiap satu pihak hendaklah disampaikan kepada Pendaftar sekurang-kurangnya tujuh hari sebelum tarikh yang dicadangkan bagi perkahwinan itu, tetapi Pendaftar boleh membenarkan masa yang lebih singkat dalam mana-mana kes tertentu.

(5) Permohonan kedua-dua pihak hendaklah dianggap sebagai suatu permohonan bersama.





Copyright © PNMB-LawNet. All rights reserved.