ENAKMEN 3 TAHUN 1989
ENAKMEN ACARA JENAYAH SYARIAH 1988

BAHAGIAN IV - PROSIDING DALAM PENDAKWAAN
Bab XIV - DARIHAL HUKUMAN DAN MENJALANKANNYA



Seksyen 131. Pesalah pertama kali.

(1) Apabila mana-mana orang yang bukan seorang pesalah remaja telah disabitkan dengan apa-apa kesalahan yang boleh dihukum dengan hukuman penjara di hadapan mana-mana Mahkamah, jika ternyata kepada Mahkamah tersebut bahawa, dengan mengambil perhatian kepada watak, latar belakangnya, umur, kesihatan atau keadaan akal pesalah itu atau kepada bentuk kesalahan itu yang tidak besar, atau kepada apa-apa keadaan yang boleh meringankan kesalahan yang dilakukan itu, adalah patut bahawa pesalah itu dilepaskan dengan syarat dia berkelakuan baik, Mahkamah bolehlah, selain daripada menghukumnya dengan serta-merta dengan apa-apa hukuman lain, mengarahkan supaya pesalah itu dilepaskan dengan mengenakan bon dengan atau tanpa penjamin-penjamin, dan dalam tempoh tersebut, sebagaimana yang diarahkan oleh Mahkamah, supaya hadir dan menerima hukuman jika dan apabila dipanggil, dan sementara itu, hendaklah dia berkelakuan baik.

(2) Mahkamah bolehlah, jika difikirkan patut, mengarahkan supaya pesalah itu hendaklah membayar perbelanjaan pendakwaan, atau beberapa bahagian daripadanya dalam tempoh yang tertentu, dan dengan cara beransur-ansur seperti yang diarahkan oleh Mahkamah.

Peruntukan-peruntukan seksyen 127 hendaklah dipakai terhadap apa-apa arahan yang dibuat di bawah seksyen-kecil ini.

(3) Jika Mahkamah, yang mempunyai kuasa untuk membicarakan pesalah itu berhubung dengan kesalahan asalnya atau mana-mana Mahkamah yang mempunyai bidangkuasa terus berpuas hati dengan maklumat secara bersumpah bahawa pesalah itu telah gagal untuk mematuhi mana-mana syarat bonnya, ia bolehlah mengeluarkan satu waran bagi menangkapnya.

(4) Mana-mana pesalah bila ditangkap atas apa-apa waran hendaklah, jika tidak di bawa dengan segera di hadapan Mahkamah yang mempunyai kuasa untuk menghukumnya, di bawa ke hadapan Kadi dan Kadi tersebut bolehlah, sama ada menahannya dengan waran sehingga masa di mana dia dikehendaki oleh bon supaya hadir bagi menerima hukuman, atau sehingga Mahkamah yang mempunyai kuasa untuk membicarakan kesalahan asalnya itu bersidang, atau bolehlah membenarkan mengikat jamin dengan penjamin yang cukup dengan syarat dia hadir bagi dijatuhkan hukuman.

(5) Pesalah itu, apabila ditahan sedemikian, bolehlah dimasukkan ke penjara dan waran penahanannya hendaklah memerintahkan, supaya dia dibawa ke hadapan Mahkamah di mana dia dikehendaki hadir bagi hukuman, atau menjawab tentang kelakuannya semenjak dia dilepaskan.





Copyright © PNMB-LawNet. All rights reserved.