ENAKMEN 5 TAHUN 1996
ENAKMEN KETERANGAN MAHKAMAH SYARIAH (NEGERI PULAU PINANG) 1996

BAHAGIAN III - PENGEMUKAAN DAN KESAN KETERANGAN
BAB 8 - PEMERIKSAAN SAKSI



Seksyen 92. Susunan pemeriksaan dan arahan mengenai pemeriksaan semula.

(1) Saksi-saksi hendaklah mula-mulanya diperiksa utama, kemudiannya, diperiksa balas jika dikehendaki oleh pihak menentang, kemudiannya pula, diperiksa semula jika dikehendaki oleh pihak yang telah memanggil mereka.

(2) Pemeriksaan dan pemeriksaan balas mestilah berhubungan dengan fakta-fakta relevan, tetapi pemeriksaan balas itu tidak perlu dihadkan kepada fakta-fakta yang telah diberi keterangan oleh saksi itu dalam pemeriksaan utamanya.

(3) Pemeriksaan semula hendaklah diarahkan kepada penghuraian perkara-perkara yang ada disebutkan dalam pemeriksaan balas; dan jika, dengan kebenaran Mahkamah, suatu perkara baharu dikemukakan dalam pemeriksaan semula, maka pihak menentang boleh selanjutnya memeriksa balas atas perkara itu.

(4) Mahkamah boleh dalam segala hal membenarkan seseorang saksi dipanggil semula sama ada untuk pemeriksaan utama selanjutnya atau untuk pemeriksaan balas selanjutnya, dan jika Mahkamah membenarkan sedemikian, maka pihak-pihak adalah berhak kepada pemeriksaan balas dan pemeriksaan semula selanjutnya, mengikut mana-mana yang berkenaan.




Copyright © PNMB-LawNet. All rights reserved.