ENAKMEN 6 TAHUN 2004
ENAKMEN TATACARA MAL MAHKAMAH SYARIAH (NEGERI PULAU PINANG)
BAHAGIAN XVIII - PENGUATKUASAAN DAN PELAKSANAAN
BAB 2 - PENGUATKUASAAN
Seksyen 150. Penguatkuasan penghakiman bagi penghantarserahan harta alih
(1) Tertakluk kepada Enakmen ini, suatu penghakiman atau perintah bagi penghantarserahan apa-apa harta alih yang tidak memberi orang yang terhadapnya penghakiman itu diberikan atau perintah itu dibuat pilihan membayar nilai tertaksir harta itu bolehlah dikuatkuasakan melalui satu atau lebih daripada satu cara yang berikut, iaitu—
(a)
perintah penghantarserahan untuk mendapatkan kembali harta itu tanpa peruntukan pilihan bagi mendapatkan kembali nilai tertaksir harta itu (kemudian daripada ini disebut “perintah penghantarserahan khusus”); atau
(b)
dalam hal apabila seksyen 151 terpakai, perintah pengkomitan.
(2) Tertakluk kepada Enakmen ini, suatu penghakiman atau perintah bagi penghantarserahan apa-apa harta alih atau pembayaran nilai tertaksir harta itu bolehlah dikuatkuasakan melalui satu atau lebih daripada satu cara yang berikut, iaitu—
(a)
perintah penghantarserahan untuk mendapatkan kembali harta itu atau nilai tertaksirnya;
(b)
dengan kebenaran Mahkamah, perintah penghantarserahan khusus; atau
(c)
dalam hal apabila seksyen 151 terpakai, perintah pengkomitan.
(3) Suatu perintah penghantarserahan khusus, dan suatu perintah penghantarserahan untuk mendapatkan kembali apa-apa harta alih atau nilai tertaksirnya, boleh mengandungi peruntukan bagi melaksanakan pembayaran apa-apa wang yang dihakimkan atau diperintahkan oleh penghakiman atau perintah yang hendak dikuatkuasakan oleh perintah itu supaya dibayar.
(4) Suatu penghakiman atau perintah bagi pembayaran nilai tertaksir apa-apa harta alih bolehlah dikuatkuasakan melalui cara yang sama seperti mana-mana penghakiman atau perintah lain bagi pembayaran wang.
Copyright © PNMB-LawNet. All rights reserved.