ENAKMEN 1 TAHUN 1990
ENAKMEN KETERANGAN MAHKAMAH SYARIAH 1990

BAHAGIAN II - MENGENAI BUKTI
BAB 5 - KETERANGAN DOKUMENTAR



Seksyen 49. Keterangan primer.

Keterangan primer ertinya dokumen asal yang dikemukakan untuk pemeriksaan Mahkamah.

Huraian 1 - Jika sesuatu dokumen disempurnakan dengan beberapa naskhah, maka tiap-tiap satu naskhah itu adalah keterangan primer bagi dokumen itu.

Jika sesuatu dokumen disempurnakan dengan naskhah bertimbal dan tiap-tiap satu naskhah bertimbal itu disempurnakan oleh satu atau setengah pihak sahaja, maka tiap-tiap satu naskhah bertimbal itu adalah keterangan primer terhadap pihak yang menyempurnakannya itu.

Huraian 2 - Jika beberapa dokumen adalah semuanya dibuat dengan satu proses yang seragam seperti dalam hal cetakan, litograf atau fotograf, tiap-tiap satunya adalah keterangan primer mengenai kandungan yang lainnya itu; akan tetapi jika dokumen itu adalah semuanya salinan daripada satu naskhah asal maka dokumen itu tidaklah menjadi keterangan primer mengenai kandungan naskhah asal.

MISALAN

Seseorang adalah dibuktikan sebagai telah ada di dalam miliknya beberapa plakad, kesemuanya dicetak pada satu masa daripada satu naskhah asal. Mana-mana satu daripada plakad itu adalah keterangan primer mengenai kandungan mana-mana satu yang lain itu, akan tetapi tiadalah satu pun daripadanya menjadi keterangan primer mengenai kandungan naskhah asal itu.




Copyright © PNMB-LawNet. All rights reserved.