ENAKMEN 4 TAHUN 1996
ENAKMEN ACARA JENAYAH SYARIAH (NEGERI PULAU PINANG) 1996

BAHAGIAN VI - RAYUAN DAN PENYEMAKAN
BAB 2 - RAYUAN KE MAHKAMAH RAYUAN SYARIAH



Seksyen 166. Persoalan ditangguhkan semasa perbicaraan untuk diputuskan oleh Mahkamah Rayuan Syariah.

(1) Apabila seseorang dalam suatu perbicaraan di hadapan Mahkamah Tinggi Syariah yang menjalankan bidangkuasa jenayah asalnya, telah disabitkan untuk suatu kesalahan, Hakim boleh, jika difikirkan patut, menangguhkan untuk keputusan Mahkamah Rayuan Syariah apa-apa persoalan undang-undang yang telah berbangkit dalam masa menjalankan perbicaraan orang itu dan yang penentuan mengenainya akan menjejaskan keputusan perbicaraan.

(2) Orang yang disabitkan itu hendaklah kemudiannya ditahan di penjara atau, jika difikirkan patut oleh Hakim, dibenarkan dijamin.

(3) Mahkamah Rayuan Syariah hendaklah mengkaji kes itu, atau mana-mana bahagiannya sebagaimana yang perlu, dan menentukan soalan itu secara muktamad, dan kemudiannya ia boleh mengubah hukuman yang telah dijatuhkan dan menjatuhkan apa-apa hukuman atau memberi atau membuat apa-apa penghakiman atau perintah sebagaimana yang Mahkamah Rayuan Syariah fikirkan patut.




Copyright © PNMB-LawNet. All rights reserved.