ENAKMEN 9 TAHUN 1991
KAWALAN DAN SEKATAN (PENGEMBANGAN AGAMA-AGAMA BUKAN ISLAM DI KALANGAN ORANG ISLAM) (NEGERI SEMBILAN) 1991

BAHAGIAN III - PENGUATKUASAAN DAN PELBAGAI



Seksyen 14. Pemeriksaan saksi-saksi.

(1) Seorang pegawai diberikuasa yang membuat suatu penyiasatan di bawah seksyen 12 boleh memeriksa secara lisan mana-mana orang yang dijangka tahu akan fakta-fakta dan hal-hal yang berkaitan dengan kes itu.

(2) Orang itu adalah diwajibkan menjawab semua soalan berhubung dengan kes itu yang dikemukakan kepadanya oleh pegawai diberikuasa itu:

Dengan syarat bahawa orang itu boleh enggan menjawab apa-apa soalan yang jawapannya berkemungkinan mendedahkannya kepada suatu pertubuhan jenayah atau penalti atau lucuthak.

(3) Seseorang yang membuat kenyataan di bawah seksyen ini adalah terikat di sisi undang-undang untuk menyatakan yang benar, sama ada atau tidak kenyataan itu adalah dibuat pada keseluruhan atau sebahagiannya bagi menjawab soalan-soalan itu.

(4) Seorang pegawai diberikuasa yang memeriksa seseorang di bawah subseksyen (1) hendaklah terlebih dahulu memberitahu orang itu akan peruntukan-peruntukan subseksyen (2) dan (3).

(5) Sesuatu kenyataan yang dibuat oleh mana-mana orang di bawah seksyen ini hendaklah, apabila boleh, ditulis dan hendaklah ditandatangani oleh orang yang membuatnya atau ditandakan dengan cap ibu jarinya, mengikut mana yang berkenaan, setelah ianya dibaca kepadanya dalam bahasa dalam mana dia membuatnya dan setelah dia diberi peluang untuk membuat apa-apa pembetulan yang dikehendakinya.




Copyright © PNMB-LawNet. All rights reserved.