ENAKMEN 9 TAHUN 1988
ENAKMEN KANUN JENAYAH SYARIAH 1988

BAHAGIAN II - KESALAHAN-KESALAHAN



Seksyen 9. Khalwat.

(1) Mana-mana orang lelaki yang didapati bersekediaman atau bersekedudukan atau berkurung atau bersembunyi yang mendatangkan syak bahawa mereka melakukan maksiat di mana-mana tempat dengan seorang perempuan yang bukan mahramnya selain daripada isterinya adalah bersalah atas kesalahan khalwat dan boleh, apabila disabitkan, dikenakan hukuman denda tidak melebihi dua ribu ringgit atau penjara selama tempoh tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya.

(2) Mana-mana orang perempuan yang didapati bersekediaman atau bersekedudukan atau berkurung atau bersembunyi yang mendatangkan syak bahawa mereka melakukan maksiat di mana-mana tempat dengan seorang lelaki yang bukan muhramnya selain daripada suaminya adalah bersalah atas kesalahan khalwat dan boleh, apabila disabitkan, dikenakan dengan hukuman denda tidak melebihi dua ribu ringgit atau penjara selama tempoh tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya.

(3) Mana-mana orang lelaki yang didapati bersama-sama dengan lebih daripada seorang perempuan yang bukan isterinya atau bukan muhramnya di tempat yang sunyi atau di dalam sebuah bilik pada mana-mana bangunan atau di tempat yang terasing dalam keadaan yang boleh mendatangkan syak bahawa mereka melakukan maksiat adalah bersalah atas suatu kesalahan dan boleh, apabila disabitkan, dikenakan hukuman denda tidak melebihi satu ribu ringgit atau penjara selama tempoh tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya.

(4) Mana-mana orang perempuan yang didapati bersama-sama dengan lebih daripada seorang lelaki yang bukan suaminya atau bukan muhramnya di tempat yang sunyi atau di dalam sebuah bilik pada mana-mana bangunan atau di tempat yang terasing dalam keadaan yang boleh mendatangkan syak bahawa mereka melakukan maksiat adalah bersalah atas suatu kesalahan dan boleh, apabila disabitkan, dikenakan hukuman denda tidak melebihi satu ribu ringgit atau penjara selama tempoh tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya.

(5) Mahkamah boleh memerintahkan supaya mana-mana perempuan yang didapati bersalah atas suatu kesalahan di bawah seksyen ini dimasukkan ke suatu rumah kebajikan selama suatu tempoh tiga tahun.





Copyright © PNMB-LawNet. All rights reserved.