ENAKMEN 8 TAHUN 2002
ENAKMEN TATACARA JENAYAH SYARIAH 2002

BAHAGIAN VII - PERUNTUKAN TAMBAHAN
BAB 6 - DARIHAL PELUPUSAN BARANG KES DAN HARTA YANG MENJADI PERKARA KESALAHAN



Seksyen 202. Perintah bagi pelupusan harta yang mengenainya kesalahan telah dilakukan.

(1) Mana-mana Mahkamah boleh, jika difikirkannya patut, mengimpaun mana-mana harta atau dokumen yang dikemukakan di hadapannya di bawah Enakmen ini.

(2) Semasa atau apabila berakhir apa-apa perbicaraan di mana-mana Mahkamah, Mahkamah itu boleh membuat apa-apa perintah yang difikirkannya patut bagi penjagaan atau pelupusan mana-mana harta dan dokumen yang dikemukakan di hadapannya atau yang dalam jagaannya, atau jagaan mana-mana Pegawai Penguatkuasa Agama atau pegawai polis atau mana-mana pengkhidmat awam, yang mengenainya mana-mana kesalahan ternyata telah dilakukan atau yang telah digunakan bagi perlakuan mana-mana kesalahan.

(3) Kuasa yang diberikan kepada Mahkamah di bawah subseksyen (2) hendaklah termasuk kuasa untuk membuat suatu perintah bagi pelucuthakan atau perampasan atau pemusnahan harta itu atau penyerahan harta itu kepada mana-mana orang, tetapi hendaklah dijalankan tertakluk kepada mana-mana peruntukan khas berhubungan dengan pelucuthakan, perampasan, pemusnahan atau penyerahan yang terkandung dalam undang-undang bertulis yang di bawahnya sabitan itu telah dibuat.

(4) Mahkamah yang membuat suatu perintah di bawah seksyen ini berkenaan dengan mana-mana harta atau dokumen hendaklah mengarahkan sama ada perintah itu hendaklah berkuat kuasa dengan serta merta atau pada mana-mana tarikh masa hadapan atau apabila berlaku apa-apa peristiwa masa hadapan dan hendaklah, kecuali apabila harta itu ialah binatang ternakan atau harta yang cepat rosak secara semula jadi, memasukkan dalam perintah itu segala arahan dan syarat yang perlu bagi memastikan bahawa harta atau dokumen itu akan dikemukakan sebagaimana dan apabila dikehendaki bagi maksud perbicaraan yang semasa ia berlangsung atau apabila ia berakhir perintah itu dibuat atau bagi maksud apa-apa rayuan atau prosiding jenayah selanjutnya yang berbangkit daripada perbicaraan itu.

(5) Dalam seksyen ini, istilah “harta” termasuklah, dalam hal harta yang berkenaan dengannya suatu kesalahan ternyata telah dilakukan, bukan sahaja apa-apa harta yang pada mulanya berada dalam milikan atau di bawah kawalan mana-mana pihak tetapi juga apa-apa harta yang ke dalam bentuknya harta itu mungkin telah diubah atau yang telah ditukarkan dengannya, dan apa-apa benda yang diperoleh daripada pengubahan atau pertukaran itu, sama ada dengan serta merta atau selainnya.




Copyright © PNMB-LawNet. All rights reserved.