Tr. P.U. 4/2002
ENAKMEN KESALAHAN JENAYAH SYARIAH (HUDUD DAN QISAS) TERENGGANU 1423H/2002M

BAHAGIAN III



Seksyen 10. Al-li'an.

(1) Al-lian adalah suatu tuduhan zina secara bersumpah yang dibuat oleh seorang suami terhadap isterinya manakala isterinya pula dengan secara bersumpah menolak tuduhan itu, yang mana tuduhan itu dan penolakannya dibuat di hadapan seorang Hakim dengan menyebutkan kata-kata yang mengikut Hukum Syarak cukup untuk membuktikan al-li'an; kata-kata itu hendaklah seperti yang terkandung dalam subseksyen (2), (3), (4) dan (5).

(2) Suami yang membuat tuduhan itu hendaklah melafazkan empat kali berturut-turut lafaz berikut:

"Aku bersaksi dengan Allah bahawa aku bercakap benar bahawa aku menuduh isteriku ..............(nama)........... berzina".

(3) Apabila genap empat kali dia mengulang-ngulangkan lafaz yang terkandung dalam subseksyen (2), maka dia hendaklah menyebut lafaz yang kelima dengan berkata:

"Laknat Allah akan jatuh ke atasku sekiranya aku bercakap bohong".

(4) Bagi menolak tuduhan itu, maka isterinya hendaklah pula melafazkan empat kali berturut-turut lafaz yang berikut:

" Aku bersaksi dengan Allah bahawa suamiku............. (nama) ............. adalah bohong membuat tuduhan zina ke atasku".

(5) Apabila genap empat kali dia mengulang-ulangkan lafaz yang dinyatakan dalam subseksyen 4, maka dia hendaklah membuat lafaz yang kelima dengan berkata:

" Kemurkaan Allah akan jatuh ke atasku sekiranya suamiku bercakap benar".

(6) Jika isteri itu telah melahirkan anak atau sedang hamil yang dianggap sebagai hasil daripada zina yang dituduh suaminya, maka suami itu hendaklah manafikan menjadi bapa kepada anak yang sudah dilahirkan itu atau yang masih dikandung itu dengan menambah kepada lafaz di bawah subseksyen (2) yang mesti diulang empat kali sebutannya, lafaz yang berikut:

"Bahawa anak ini atau apa yang dikandung oleh isteri aku bukanlah dari aku".




Copyright © PNMB-LawNet. All rights reserved.