ENAKMEN 11 TAHUN 2003
ENAKMEN UNDANG-UNDANG KELUARGA ISLAM (NEGERI SEMBILAN) 2003

BAHAGIAN V - PEMBUBARAN PERKAHWINAN



Seksyen 55. Penyenggaraan Daftar Perceraian dan Pembatalan

(1) Tiap-tiap Pendaftar dan juga Ketua Pendaftar hendaklah masing-masing menyenggara suatu Daftar Perceraian dan Pembatalan dan hendaklah dengan serta-merta mencatatkan dalamnya butir-butir yang ditetapkan mengenai semua perintah perceraian dan pembatalan yang dihantar kepadanya di bawah subseksyen (2) dan mengenai semua perintah perceraian dan pembatalan yang dipohon di bawah subseksyen (3) supaya didaftarkan.

(2) Tiap-tiap Mahkamah yang memberikan dan merekodkan sesuatu perintah perceraian atau pembatalan atau yang membenarkan dan merekodkan mana-mana talaq atau apa-apa bentuk perceraian lain hendaklah serta-merta menghantar satu salinan rekod itu yang diperakui kepada Pendaftar yang berkenaan dan kepada Ketua Pendaftar untuk didaftarkan.

(3) Jika sesuatu perkahwinan yang diakadnikahkan di dalam Negeri Sembilan dibubarkan atau dibatalkan dengan suatu perintah Mahkamah yang mempunyai bidang kuasa berwibawa di luar Negeri Sembilan, salah satu daripada pihak-pihak itu boleh memohon kepada Pendaftar yang berkenaan itu dan kepada Ketua Pendaftar untuk pendaftaran perintah itu dan Pendaftar yang berkenaan dan Ketua Pendaftar hendaklah mendaftarkan perintah itu apabila berpuas hati bahawa perintah itu ialah suatu perintah yang patut diiktiraf sebagai sah bagi maksud-maksud undang-undang di dalam Negeri Sembilan.

(4) Jika sesuatu lafaz talaq di hadapan Mahkamah atau sesuatu perintah perceraian atau pembatalan, di mana-mana jua telah diberikan, telah membubarkan sesuatu perkahwinan yang telah diakadnikahkan di dalam Negeri Sembilan dan telah didaftarkan di bawah Enakmen ini atau di bawah mana-mana undang-undang bertulis yang berkuat kuasa sebelum Enakmen ini, Pendaftar yang berkenaan dan Ketua Pendaftar hendaklah, apabila mendaftarkan talaq atau perintah itu, mengarahkan supaya catatan mengenai perkahwinan itu dalam Daftar Perkahwinan ditandakan dengan perkataan “Dibubarkan” dan dengan rujukan mengenai prosiding yang dalamnya talaq itu telah dilafazkan atau perintah itu telah dibuat.

(5) Apabila mendaftarkan sesuatu talaq atau perintah perceraian atau pembatalan itu dan setelah dibayar kepadanya fi yang ditetapkan, Pendaftar yang berkenaan atau Ketua Pendaftar hendaklah mengeluarkan perakuan cerai dan pembatalan dalam borang yang ditetapkan kepada kedua-dua pihak itu.




Copyright © PNMB-LawNet. All rights reserved.