ENAKMEN 11 TAHUN 2003
ENAKMEN UNDANG-UNDANG KELUARGA ISLAM (NEGERI SEMBILAN) 2003
BAHAGIAN V - PEMBUBARAN PERKAHWINAN
Seksyen 53. Perintah untuk fasakh
(1) Seseorang perempuan atau lelaki, mengikut mana-mana yang berkenaan, yang berkahwin mengikut Hukum Syarak berhak mendapat suatu perintah untuk
fasakh
atas satu atau lebih daripada alasan yang berikut, iaitu—
(a)
bahawa tidak diketahui tempat di mana beradanya suami atau isteri selama tempoh lebih daripada satu tahun;
(b)
bahawa suami telah cuai atau telah tidak mengadakan peruntukan bagi nafkahnya selama tempoh tiga bulan;
(c)
bahawa suami atau isteri telah dihukum dengan hukuman pemenjaraan selama tempoh tiga tahun atau lebih;
(d)
bahawa suami atau isteri telah tidak menunaikan, tanpa sebab yang munasabah, kewajipan perkahwinannya (nafkah batin) selama tempoh satu tahun;
(e)
bahawa suami telah mati pucuk pada masa perkahwinan dan masih lagi sedemikian dan isteri tidak tahu pada masa perkahwinan bahawa suami telah mati pucuk;
(f)
bahawa suami atau isteri telah gila selama tempoh dua tahun atau sedang mengidap penyakit kusta atau vitiligo atau sedang mengidap penyakit kelamin dalam keadaan boleh berjangkit;
(g)
bahawa isteri, setelah dikahwinkan oleh wali
Mujbir
nya sebelum dia mencapai umur
baligh
, menolak perkahwinan itu sebelum mencapai umur lapan belas tahun, dan dia belum disetubuhi oleh suaminya itu;
(h)
bahawa suami atau isteri menganiayai isteri atau suaminya iaitu, antara lain—
(i) lazim menyakiti atau menjadikan kehidupannya menderita disebabkan oleh kelakuan aniaya;
(ii) berkawan dengan perempuan atau lelaki jahat atau hidup berperangai keji mengikut pandangan Hukum Syarak;
(iii) memaksa isteri hidup secara lucah;
(iv) melupuskan harta isteri atau suami atau melarang isteri atau suami itu daripada menggunakan hak-haknya di sisi undang-undang terhadap harta itu;
(v) menghalang isteri atau suami daripada menunaikan atau menjalankan kewajipan atau amalan agamanya; atau
(vi) jika suami mempunyai lebih daripada seorang isteri, dia tidak melayani isteri yang berkenaan secara adil mengikut kehendak-kehendak Hukum Syarak;
(i)
bahawa walaupun empat bulan berlalu tetapi persetubuhan belum berlaku kerana suami atau isteri sengaja enggan bersetubuh;
(j)
bahawa isteri tidak memberikan izin terhadap perkahwinan itu atau izinnya tidak sah, sama ada oleh sebab paksaan, kesilapan, ketidaksempurnaan akal, atau apa-apa hal keadaan lain yang diakui oleh Hukum Syarak;
(k)
bahawa pada masa perkahwinan itu isteri, sungguhpun boleh memberi izin yang sah, ialah seorang yang sakit otak, sama ada berterusan atau berselangan, dalam pengertian Ordinan Sakit Otak 1952[
Ord. 31/52
.] atau sakit otaknya adalah daripada jenis atau ke takat yang menjadikannya tidak layak untuk berkahwin; atau
(l)
apa-apa alasan lain yang diiktiraf sebagai sah bagi
fasakh
di bawah Hukum Syarak.
(2) Mana-mana orang yang berkahwin mengikut Hukum Syarak berhak mendapatkan perintah bagi
fasakh
atas alasan bahawa isteri adalah di bawah ketidakupayaan yang menghalang persetubuhan.
(3) Tiada perintah boleh dibuat atas alasan dalam perenggan (1)
(c)
sehingga hukuman itu telah menjadi muktamad dan suami atau isteri telahpun menjalani satu tahun daripada hukuman itu.
(4) Sebelum membuat suatu perintah atas alasan dalam perenggan (1)
(e)
Mahkamah hendaklah, atas permohonan suami, membuat suatu perintah menghendaki suami memuaskan hati Mahkamah dalam tempoh satu tahun dari tarikh perintah itu bahawa dia tidak lagi mati pucuk, dan jika suami memuaskan hati Mahkamah sedemikian dalam tempoh itu, tiada sesuatu perintah boleh dibuat atas alasan itu.
(5) Tiada perintah boleh dibuat atas mana-mana alasan dalam subseksyen (1) jika suami memuaskan hati Mahkamah bahawa isteri, dengan mengetahui bahawa terbuka baginya untuk mendapatkan perkahwinan itu ditolak, telah bertingkah laku terhadap suaminya dengan cara yang menyebabkan suami mempercayai dengan munasabah bahawa isteri tidak akan menolak perkahwinan itu, dan bahawa tidaklah adil kepada suami jika dibuat perintah itu.
Copyright © PNMB-LawNet. All rights reserved.