ENAKMEN 11 TAHUN 2003
ENAKMEN UNDANG-UNDANG KELUARGA ISLAM (NEGERI SEMBILAN) 2003

BAHAGIAN V - PEMBUBARAN PERKAHWINAN



Seksyen 48. Timbangtara oleh Hakam

(1) Jika Mahkamah berpuas hati bahawa perkelahian (shiqaq) sentiasa berlaku antara pihak-pihak kepada suatu perkahwinan, atau jika suami itu enggan melafazkan satu talaq setelah dinasihatkan oleh jawatankuasa pendamai, Mahkamah boleh melantik, mengikut Hukum Syarak, dua orang penimbangtara atau Hakam untuk bertindak bagi pihak suami dan isteri itu masing-masing.

(2) Dalam melantik Hakam di bawah subseksyen (1), Mahkamah hendaklah, jika boleh, memberi keutamaan kepada saudara mara rapat pihak-pihak itu yang tahu akan hal keadaan kes itu.

(3) Mahkamah boleh memberi Hakam arahan-arahan tentang penjalanan penimbangtaraan itu dan Hakam hendaklah menjalankannya mengikut arahan-arahan itu dan Hukum Syarak.

(4) Jika Hakam tidak dapat bersetuju, atau jika Mahkamah tidak berpuas hati dengan penjalanan penimbangtaraan oleh Hakam itu, Mahkamah boleh memecat mereka dan melantik Hakam lain bagi menggantikan mereka.

(5) Hakam hendaklah berusaha untuk mendapatkan kuasa penuh daripada prinsipal mereka masing-masing dan boleh, jika kuasa mereka membenarkan, melafazkan satu talaq di hadapan Mahkamah jika dibenarkan oleh Mahkamah, dan jika demikian halnya, Mahkamah hendaklah merekodkan lafaz satu talaq itu, dan menghantar salinan rekod itu yang diperakui kepada Pendaftar yang berkenaan dan kepada Ketua Pendaftar untuk didaftarkan.

(6) Jika Hakam berpendapat bahawa pihak-pihak itu patut bercerai tetapi tidak dapat memerintahkan perceraian kerana sesuatu sebab, Mahkamah hendaklah melantik Hakam yang lain dan hendaklah memberi mereka kuasa untuk memerintahkan perceraian dan hendaklah, jika mereka berbuat demikian, merekodkan perintah itu dan menghantar suatu salinan rekod itu yang diperakui kepada Pendaftar yang berkenaan dan kepada Ketua Pendaftar untuk didaftarkan.

(7) Melainkan jika dia anggota keluarga terdekat pihak itu, maka tiada seorang pun atau Peguam Syarie boleh dibenarkan hadir atau mewakili mana-mana pihak di hadapan Hakam.




Copyright © PNMB-LawNet. All rights reserved.