ENAKMEN 4 TAHUN 1996
ENAKMEN ACARA JENAYAH SYARIAH (NEGERI PULAU PINANG) 1996

BAHAGIAN I - PERMULAAN



Seksyen 2. Tafsiran.

(1) Dalam Enakmen ini, melainkan jika konteksnya menghendaki makna yang lain-

"aduan" ertinya pengataan yang dibuat secara lisan atau secara bertulis kepada seorang Hakim dengan tujuan supaya tindakan diambil olehnya di bawah Enakmen ini, bahawa seseorang sama ada diketahui atau tidak diketahui telah melakukan ataupun bersalah kerana suatu kesalahan;

"Enakmen Pentadbiran" ertinya Enakmen Pentadbiran Hal Ehwal Agama Islam Negeri Pulau Pinang 1993. [Pg. En. 7/93]

"Hakim" ertinya seseorang Hakim yang dilantik di bawah subseksyen 45 (1) atau 46 (1) Enakmen Pentadbiran;

"Ketua Pegawai Penguatkuasa Agama" dan "Pegawai Penguatkuasa Agama" mempunyai erti yang sama yang diberi kepadanya dalam Enakmen Pentadbiran;

"kesalahan" ertinya apa-apa perbuatan atau peninggalan yang boleh dihukum oleh mana-mana undang-undang bertulis yang menetapkan kesalahan terhadap rukun Islam dan ke atasnya Mahkamah mempunyai bidangkuasa;

"kesalahan boleh tangkap" ertinya kesalahan yang boleh dihukum dengan penjara selama satu tahun dan ke atas di mana seorang Pegawai Penguatkuasa Agama atau pegawai polis boleh secara lazimnya tangkap tanpa waran;

"kesalahan tak boleh tangkap" ertinya kesalahan yang boleh dihukum dengan penjara untuk kurang daripada satu tahun atau dengan denda sahaja yang mana seorang Pegawai Penguatkuasa Agama atau pegawai polis tidak boleh secara lazimnya tangkap tanpa waran;

"Ketua Hakim Syarie" mempunyai erti yang sama yang diberi kepadanya dalam Enakmen Pentadbiran;

"Ketua Pendakwa Syarie" mempunyai erti yang sama yang diberi kepadanya dalam Enakmen Pentadbiran;

"Mahkamah atau Mahkamah Syariah" mempunyai erti yang sama yang diberi kepadanya dalam Enakmen Pentadbiran;

"Majlis" mempunyai erti yang sama yang diberi kepadanya dalam Enakmen Pentadbiran;

"Mufti" mempunyai erti yang sama yang diberi kepadanya dalam Enakmen Pentadbiran;

"Pegawai Masjid" mempunyai erti yang sama yang diberikan kepadanya dalam Enakmen Pentadbiran;

"Peguam Syarie" mempunyai erti yang sama yang diberi kepadanya dalam Enakmen Pentadbiran;

"Pendaftar" ertinya Ketua Pendaftar Mahkamah Rayuan Syariah, Pendaftar Mahkamah Rendah Tinggi Syariah atau Penolong Pendaftar Mahkamah Rendah Syariah, mengikut mana yang bekenaan, yang dilantik di bawah Enakmen Pentadbiran;

"Pendaftar Jenayah" ertinya Pendaftar Jenayah yang dilantik di bawah seksyen 3, Akta Pendaftaran Jenayah dan Orang-orang Yang Tak Diingini, 1969 [Akta 7];

"Pendakwa" bererti Ketua Pendakwa Syarie atau Pendakwa Syarie;

"Pendakwa Syarie" mempunyai erti yang sama yang diberi kepadanya dalam Enakmen Pentadbiran;

"pesalah muda" bererti seorang pesalah yang berumur lebih daripada sepuluh tahun dan di bawah enam belas tahun;

"saksi" tidak termasuk orang yang tertuduh;

"Undang-Undang Pentadbiran" ertinya Undang-Undang Pentadbiran Ugama Islam 1959 [Pg. En. 3/59].

(2) Semua perkataan dan ungkapan yang digunakan dalam Enakmen ini dan yang tidak ditakrifkan dalamnya tetapi ditakrifkan dalam Akta-Akta Tafsiran 1948 dan 1967 [Akta 288] hendaklah mempunyai erti yang diberikan kepadanya dalam Akta-Akta itu setakat yang erti sedemikian tidak bercanggah dengan Hukum Syara'.

(3) Jika apa-apa soalan atau pertikaian berbangkit mengenai tafsiran perkataan, ungkapan dan terma berhubung dengan Hukum Syara', Mahkamah yang membicarakan kes hendaklah mempunyai bidangkuasa untuk memberi takrifan kepada perkataan, ungkapan dan terma tersebut.




Copyright © PNMB-LawNet. All rights reserved.