Enakmen 5 Tahun 2008
ENAKMEN PENTADBIRAN UNDANG-UNDANG ISLAM (KEDAH DARUL AMAN) 2008

BAHAGIAN I - PERMULAAN



Seksyen 2. Tafsiran

(1) Dalam Enakmen ini, melainkan jika konteksnya menghendaki makna yang lain—

“ahli kariah” ertinya seseorang yang tinggal tetap atau pada kelazimannya bermukim dalam sesuatu kariah masjid;

“Baitulmal” ertinya kumpulan wang yang ditubuhkan di bawah seksyen 47;

“Enakmen terdahulu” ertinya Undang-Undang Pentadbiran Agama Islam Negeri Kedah 1962 [Enakmen No. 9/1962];

“Hukum Syarak” ertinya Hukum Syarak mengikut Mazhab Syafie atau mengikut mana-mana satu Mazhab Hanafi, Maliki, atau Hambali;

“Jawatankuasa Kariah” ertinya Jawatankuasa Kariah yang ditubuhkan melalui peraturan yang dibuat di bawah seksyen 67;

“kariah masjid”, berhubung dengan sesuatu masjid, ertinya kawasan yang di dalamnya masjid itu terletak;

“Ketua Hakim Syarie” ertinya Ketua Hakim Syarie yang dilantik di bawah subseksyen 4(1) Enakmen Mahkamah Syariah (Kedah Darul Aman) 2008;

“Ketua Pegawai Penguatkuasa Agama” dan “Pegawai Penguatkuasa Agama” ertinya pegawai yang dilantik sebagai yang sedemikian di bawah seksyen 45;

“Ketua Pendakwa Syarie” ertinya pegawai yang dilantik di bawah subseksyen 44(1);

“Mahkamah Syariah” atau “Mahkamah” ertinya Mahkamah Tinggi Syariah atau Mahkamah Rendah Syariah, mengikut mana-mana yang berkenaan, yang ditubuhkan di bawah Enakmen Mahkamah Syariah (Kedah Darul Aman) 2008;

“mahkamah sivil” ertinya mana-mana mahkamah yang ditubuhkan di bawah Perkara 121 Perlembagaan Persekutuan;

“Majlis” ertinya Majlis Agama Islam Negeri Kedah Darul Aman yang ditubuhkan di bawah subseksyen 4(1);

“Majlis terdahulu” ertinya Majlis Agama Islam Negeri Kedah Darul Aman yang ditubuhkan di bawah Enakmen terdahulu;

“masjid” ertinya suatu bangunan—

“muallaf” ertinya seseorang yang baru memeluk Agama Islam di bawah seksyen 70;

“Mufti” ertinya orang yang dilantik menjadi Mufti bagi Negeri Kedah Darul Aman di bawah Enakmen Mufti dan Fatwa (Kedah Darul Aman) 2008;

“nazr” ertinya suatu ikrar yang dilafazkan untuk melakukan sesuatu perbuatan bagi apa-apa maksud yang dibenarkan oleh Hukum Syarak;

“nazr `am” ertinya sesuatu nazr yang dimaksudkan keseluruhannya atau sebahagiannya bagi faedah masyarakat Islam pada amnya atau mana-mana bahagian masyarakat Islam, dan tidak bagi seseorang individu atau sekumpulan orang;

“Negeri” ertinya Negeri Kedah Darul Aman;

“orang Islam” ertinya—

“Pegawai Masjid” ertinya seseorang yang dilantik dibawah seksyen 63;

“Peguam Syarie” ertinya seseorang yang diterima sebagai Peguam Syarie di bawah seksyen 46;

“Pendakwa Syarie” ertinya pegawai yang dilantik di bawah subseksyen 44(3);

“Yang Dipertua” ertinya Yang Dipertua Majlis yang disebutkan dalam subseksyen 15(1);

“Setiausaha” ertinya Setiausaha Majlis yang disebutkan dalam seksyen 16;

“wakaf” ertinya apa-apa harta yang boleh dinikmati manfaat atau faedahnya untuk apa-apa tujuan khairat sama ada sebagai wakaf am atau wakaf khas menurut Hukum Syarak tetapi tidak termasuk amanah sebagaimana yang ditakrifkan di bawah Akta Pemegang Amanah 1949 [Akta 208];

“wakaf `am” ertinya sesuatu wakaf yang diwujudkan bagi tujuan khairat umum menurut Hukum Syarak;

“wakaf khas” ertinya sesuatu wakaf yang diwujudkan bagi tujuan khairat khusus menurut Hukum Syarak.

(2) Semua perkataan dan ungkapan yang digunakan dalam Enakmen ini dan tidak ditakrifkan dalam Enakmen ini tetapi ditakrifkan dalam Akta Tafsiran 1948 dan 1967 [Akta 388] hendaklah mempunyai masing-masing erti yang diberikan kepadanya setakat yang erti itu tidak bercanggah dengan Hukum Syarak.

(3) Bagi mengelakkan keraguan tentang identiti atau pentafsiran perkataan dan ungkapan yang digunakan dalam Enakmen ini yang disenaraikan dalam Jadual Pertama, rujukan bolehlah dibuat kepada tulisan Arab bagi perkataan dan ungkapan itu yang ditunjukkan bersetentangan dengannya dalam Jadual itu.




Copyright © PNMB-LawNet. All rights reserved.