ENAKMEN 13 TAHUN 2015
ENAKMEN KANUN JENAYAH SYARIAH (II) 1993 (2015)

BAHAGIAN I - KESALAHAN-KESALAHAN HUDUD



Seksyen 19. Al-li’an

(1) Al-li’an ialah suatu tuduhan zina secara bersumpah yang dibuat oleh seorang suami terhadap isterinya manakala isterinya pula dengan secara bersumpah menolak tuduhan itu, yang mana tuduhan dan penolakan adalah dibuat di hadapan seorang hakim dengan menyebutkan kata-kata sebagaimana yang dinyatakan dalam subseksyen (2), (3), (4), (5) dan (6) mengikut mana-mana yang berkenaan.

(2) Suami yang membuat tuduhan itu hendaklah melafazkan empat kali berturut- turut lafaz berikut:

Aku bersaksi dengan Allah bahawa aku bercakap benar bahawa aku menuduh isteriku……….berzina”.

(3) Apabila genap empat kali dia mengulangi lafaz yang terkandung dalam subseksyen (2), maka dia hendaklah menyebut lafaz yang kelima dengan berkata:

"Laknat Allah akan jatuh ke atasku sekiranya aku bercakap bohong.”

(4) Bagi menolak tuduhan itu, maka isterinya hendaklah pula melafazkan empat kali berturut-turut lafaz yang berikut:

Aku bersaksi dengan Allah bahawa suamiku………. adalah bohong membuat tuduhan zina ke atasku.

(5) Apabila genap empat kali dia mengulangi lafaz yang dinyatakan dalam subseksyen (4), maka dia hendaklah menyebut lafaz
yang kelima dengan berkata:

"Kemurkaan Allah akan jatuh ke atasku sekiranya suamiku bercakap benar".

(6) Jika isteri itu telah melahirkan anak atau sedang hamil yang dianggap sebagai hasil daripada zina yang dituduh oleh suaminya, maka suami itu hendaklah menafikan menjadi bapa kepada anak yang sudah dilahirkan itu atau yang masih dikandung itu dengan menambah kepada lafaz di bawah subseksyen (2) yang mesti diulang empat kali sebutannya, lafaz yang berikut:

"Bahawa anak ini/apa yang dikandung oleh isteri aku bukanlah daripada aku.




Copyright © PNMB-LawNet. All rights reserved.