ENAKMEN 7 tahun 2008
ENAKMEN UNDANG-UNDANG KELUARGA ISLAM (KEDAH DARUL AMAN) 2008

BAHAGIAN V - PEMBUBARAN PERKAHWINAN



Seksyen 52. Hidup semula sebagai suami isteri atau ruju’

(1) Dalam seksyen ini “talaq raj’i” ertinya perceraian dengan satu atau dua talaq yang tidak diikuti dengan habis ‘iddah; dan “bersekedudukan semula” ertinya ruju’ sebagai suami isteri dalam tempoh ‘iddah.

(2) Jika, selepas sesuatu talaq raj’i, ruju’ berlaku dengan persetujuan bersama, pihak-pihak itu hendaklah melaporkan hal ruju’ itu dan buti-butir lain yang berkaitan kepada Pendaftar bagi kariah masjid di mana mereka bermastautin.

(3) Pendaftar hendaklah membuat apa-apa penyiasatan yang perlu dan, jika berpuas hati bahawa ruju’ telah berlaku mengikut Hukum Syarak, hendaklah mendaftarkan ruju’ itu dengan membuat suatu endorsan pada catatan berhubungan dengan perceraian itu dalam Daftar Perceraian, jika perceraian itu telah didaftarkan olehnya, dan hendaklah meminta pihak-pihak itu menyerahkan kepadanya surat perakuan cerai yang berkaitan dan hendaklah mengeluarkan kepada mereka surat perakuan ruju’ dalam borang yang ditetapkan.

(4) Pendaftar hendaklah juga menyerahkan satu salinan surat perakuan ruju’ itu kepada Ketua Pendaftar yang mana hendaklah mendaftarkan ruju’ itu dengan membuat suatu endorsan pada catatan berhubungan dengan perceraian itu dalam Daftar Perceraian yang disimpan olehnya.

(5) Mana-mana pihak kepada suatu perkahwinan yang tidak melaporkan hal ruju’ sebagaimana dikehendaki oleh subseksyen (2) adalah melakukan suatu kesalahan dan hendaklah dihukum denda tidak melebihi lima ratus ringgit atau penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya.

(6) Jika perceraian itu tidak didaftarkan oleh Pendaftar yang kepadanya laporan di bawah subsekyen (2) itu dibuat, dia hendaklah merekodkan dalam surat-surat perakuan cerai nombor siri dan butir-butir surat perakuan ruju’ itu dan hendaklah menghantar surat-surat perakuan cerai itu kepada Pendaftar yang telah mengeluarkannya bersama dengan satu salinan surat perakuan ruju’ itu, dan Pendaftar yang satu lagi itu hendaklah selepas itu mendaftarkan ruju’ itu dengan membuat suatu endorsan pada catatan berhubungan dengan perceraian itu dalam Daftar Perceraian dan hendaklah menyerahkan salinan surat perakuan ruju’ itu kepada Ketua Pendaftar yang mana hendaklah mendaftarkan ruju’ itu dengan membuat endorsan pada catatan berhubungan dengan perceraian itu dalam Daftar Perceraian yang disimpan olehnya.

(7) Jika talaq raj’i telah berlaku tanpa diketahui oleh isteri, suami tidak boleh menghendaki atau meminta isteri supaya bersekedudukan semula dengannya tanpa menzahirkan kepadanya hal perceraian itu.

(8) Jika selepas talaq raj’i suami melafazkan ruju’ dan isteri telah bersetuju terhadap ruju’ itu, isteri boleh, atas permohonan suami, diperintah oleh Mahkamah supaya hidup semula sebagai suami isteri,melainkan jika isteri itu menunjukkan sebab-sebab yang baik, mengikut Hukum Syarak sebaliknya, dan, jika demikian halnya, Mahkamah hendaklah melantik suatu jawatankuasa pendamai sebagaimana diperuntukkan di bawah seksyen 47, dan seksyen itu hendaklah dipakai sewajarnya.

(9) Jika selepas talaq raj’i suami melafazkan ruju’ tetapi isteri telah tidak bersetuju terhadap ruju’ itu kerana sebab-sebab yang dibenarkan oleh Hukum Syarak, dia tidak boleh diperintah oleh Mahkamah supaya hidup semula sebagai suami isteri, tetapi Mahkamah hendaklah melantik suatu jawatankuasa pendamai sebagaimana diperuntukkan di bawah seksyen 47, dan seksyen itu hendaklah dipakai sewajarnya.




Copyright © PNMB-LawNet. All rights reserved.