Enakmen 5 Tahun 2008
ENAKMEN PENTADBIRAN UNDANG-UNDANG ISLAM (KEDAH DARUL AMAN) 2008

BAHAGIAN IV - KEWANGAN
Wakaf, Nazr dan Amanah



Seksyen 56. Modal wakaf dan nazr

(1) Tertakluk kepada subseksyen (2) dan (3), harta modal dan aset yang tersentuh oleh mana-mana wakaf atau nazr ‘am yang sah tidak boleh menjadi sebahagian daripada Baitulmal, tetapi hendaklah digunakan menurut wakaf atau nazr ‘am itu dan dipegang sebagai dana yang berasingan.

(2) Jika, oleh sebab masa telah luput atau hal keadaan sudah berubah, tidak mungkin lagi dapat dijalankan dengan berfaedah peruntukan tepat mana-mana wakaf atau nazr ‘am, Majlis hendaklah menyediakan suatu skim bagi menggunakan harta dan aset yang tersentuh olehnya mengikut cara yang sehampir mungkin sama dengan dikehendaki oleh terma-terma wakaf atau nazr ‘am itu, dan hendaklah menggunakan harta dan aset itu dengan sewajarnya.

(3) Walau apapun subseksyen (2), Majlis boleh, dengan titah bertulis daripada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan, mengarahkan supaya harta dan aset yang disebut dalam subseksyen (2) itu ditambahkan kepada dan menjadi sebahagian daripada Baitulmal.

(4) Jika terma-terma mana-mana wakaf atau nazr‘am tidak menyatakan cara penggunaan harta modal dan aset yang tersentuh olehnya, atau tidak pasti daripada terma-terma itu bagaimana harta modal atau aset itu patut digunakan, Majlis boleh mengarahkan supaya harta modal dan aset itu ditambahkan kepada dan menjadi sebahagian daripada Baitulmal.

(5) Segala surat cara yang mewujudkan, yang menjadi keterangan, atau yang menyentuh mana-mana wakaf atau nazr‘am, beserta dengan mana-mana dokumen hakmilik atau cagaran lain yang berhubungan dengannya, hendaklah dipegang dan disimpan oleh Majlis.




Copyright © PNMB-LawNet. All rights reserved.