ENAKMEN 7 TAHUN 2006
ENAKMEN UNDANG-UNDANG KELUARGA ISLAM 2006

BAHAGIAN III - PENDAFTARAN PERKAHWINAN



Seksyen 28. Perlantikan Ketua Pendaftar, Pendaftar, Timbalan dan Penolong Pendaftar Perkahwinan, Perceraian dan Ruju' Orang Islam

(1) Duli Yang Maha Mulia Raja Pemerintah boleh melantik mana-mana pegawai awam yang berkelayakan untuk menjadi Ketua Pendaftar Perkahwinan, Perceraian, dan Rujuk Orang Islam bagi maksud-maksud Enakmen ini, yang mana adalah berkuasa menjalankan penyeliaan dan kawalan ke atas Pendaftar-Pendaftar dan pendaftaran perkahwinan, perceraian, dan ruju' di bawah Enakmen ini.

(2) Duli Yang Maha Mulia Raja Pemerintah boleh melantik beberapa orang yang berkelayakan sebagaimana yang perlu, untuk menjadi Pendaftar Kanan, Pendaftar, atau Penolong Pendaftar Perkahwinan, Perceraian dan Ruju' Orang Islam bagi mana-mana kariah masjid dalam Negeri Perlis sebagaimana yang ditentukan dalam pelantikan itu.

(3) Duli Yang Maha Mulia Raja Pemerintah boleh, melalui pemberitahuan dalam Warta, melantik mana-mana anggota staf diplomatik Malaysia di mana-mana negara untuk menjadi Pendaftar Perkahwinan, Perceraian, dan Ruju' Orang Islam bagi maksud-maksud Enakmen ini di negara itu.

(4) Tiap-tiap orang yang dilantik di bawah subseksyen (2) yang bukan pegawai awam hendaklah disifatkan sebagai pegawai awam bagi maksud-maksud Kanun Keseksaan [Akta 574].




Copyright © PNMB-LawNet. All rights reserved.