Enakmen 5 Tahun 2008
ENAKMEN PENTADBIRAN UNDANG-UNDANG ISLAM (KEDAH DARUL AMAN) 2008
BAHAGIAN II - MAJLIS AGAMA ISLAM NEGERI KEDAH DARUL AMAN
Seksyen 32. Peraturan-peraturan tatatertib
(1) Majlis boleh, atas perkenan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan, membuat peraturan untuk mengadakan peruntukan bagi tatatertib pegawai-pegawai dan pekhidmat-pekhidmatnya.
(2) Peraturan tatatertib yang dibuat di bawah seksyen ini—
(a) boleh mewujudkan kesalahan tatatertib;
(b) boleh mengadakan peruntukan bagi hukuman tatatertib yang difikirkan sesuai oleh Majlis dan hukuman itu boleh meliputi—
(i) amaran;
(ii) denda;
(iii) pelucuthakan emolumen;
(iv) penangguhan pergerakan gaji;
(v) pengurangan gaji;
(vi) penurunan pangkat; dan
(vii) buang kerja.
(c) hendaklah memberikan peluang kepada pegawai-pegawai dan pekhidmat-pekhidmat yang terhadapnya prosiding tatatertib itu diambil untuk membuat representasi terhadap pertuduhan tatatertib yang dibuat terhadapnya sebelum keputusan dicapai oleh jawatankuasa tatatertib kecuali dalam hal-hal yang berikut:
(i) jika seseorang pegawai atau pekhidmat dibuang kerja atau diturunkan pangkat atas alasan salah laku yang berkenaan dengannya suatu pertuduhan jenayah telah dibuktikan terhadapnya;
(ii) jika Majlis, atas syor Menteri yang dipertanggungkan dengan hal ehwal dalam negeri, berpuas hati bahawa demi kepentingan keselamatan Malaysia atau mana-mana bahagiannya adalah tidak suaimanfaat untuk menjalankan kehendak perenggan ini; atau
(iii) jika telah—
(A) dibuat terhadap seseorang pegawai atau pekhidmat apa-apa perintah tahanan, pengawasan, kediaman terhad, buang negeri atau pengusiran; atau
(B) dikenakan terhadap seseorang pegawai atau pekhidmat apa-apa bentuk sekatan atau pengawasan dengan bon atau selainnya,
di bawah mana-mana undang-undang yang berhubungan dengan keselamatan Malaysia atau mana-mana bahagiannya, pencegahan, kediaman terhad, buang negeri, imigresen, atau pelindungan wanita dan gadis atau kanak-kanak;
(d) boleh mengadakan peruntukan bagi penahanan kerja dengan pengurangan emolumen seseorang pegawai atau pekhidmat semasa menanti selesainya prosiding jenayah atau prosiding tatatertib terhadapnya dengan tujuan buang kerja atau turun pangkat; dan
(e) boleh mengadakan peruntukan bagi penggantungan tanpa emolumen seseorang pegawai atau pekhidmat—
(i) jika pegawai atau pekhidmat itu telah disabitkan oleh suatu mahkamah jenayah; atau
(ii) jika suatu perintah tahanan atau sekatan telah dikenakan ke atas pegawai atau pekhidmat itu; dan
(f) boleh mengadakan peruntukan bagi tatacara pendengaran rayuan oleh Lembaga Rayuan Tatatertib yang ditubuhkan di bawah seksyen 33.
Copyright © PNMB-LawNet. All rights reserved.