Enakmen 5 Tahun 2008
ENAKMEN PENTADBIRAN UNDANG-UNDANG ISLAM (KEDAH DARUL AMAN) 2008

BAHAGIAN II - MAJLIS AGAMA ISLAM NEGERI KEDAH DARUL AMAN



Seksyen 4. Penubuhan Majlis

(1) Maka hendaklah ada suatu badan bernama “Majlis Agama Islam Negeri Kedah Darul Aman” untuk membantu dan menasihati Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan dalam perkara-perkara yang berhubungan dengan Agama Islam.

(2) Apabila seksyen ini mula berkuat kuasa, Majlis Agama Islam Negeri Kedah yang wujud menurut kuasa Enakmen terdahulu hendaklah disifatkan sebagai Majlis yang disebut dalam subseksyen (1).

(3) Segala hak, kuasa, kewajipan dan tanggungan yang sebelum Bahagian ini mula berkuat kuasa adalah terletak hak atau dipertanggungkan pada Majlis terdahulu hendaklah, apabila Enakmen ini mula berkuat kuasa, terletak hak dan dipertanggungkan pada Majlis, kecuali mana-mana yang tidak selaras dengan peruntukan Enakmen ini.

(4) Segala jenis harta, alih dan tak alih, yang sebelum Enakmen ini mula berkuat kuasa, adalah terletak hak pada Majlis terdahulu hendaklah, apabila Bahagian ini mula berkuat kuasa, terletak hak pada Majlis tanpa dipindahkan, diserahhakkan atau dipindahmilikkan.




Copyright © PNMB-LawNet. All rights reserved.