ENAKMEN 11 TAHUN 2013
ENAKMEN KESALAHAN JENAYAH SYARIAH 2013

BAHAGIAN IV - KESALAHAN BERHUBUNGAN DENGAN KESUSILAAN



Seksyen 29. Persetubuhan luar nikah

(1) Mana-mana lelaki yang melakukan persetubuhan dengan perempuan yang bukan isterinya yang sah melakukan suatu kesalahan dan boleh, apabila disabitkan, didenda tidak melebihi lima ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau disebat tidak melebihi enam sebatan atau dihukum dengan mana-mana kombinasi hukuman itu.

(2) Mana-mana perempuan yang melakukan persetubuhan dengan lelaki yang bukan suaminya yang sah melakukan suatu kesalahan dan boleh, apabila disabitkan, didenda tidak melebihi lima ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau disebat tidak melebihi enam sebatan atau dihukum dengan mana-mana kombinasi hukuman itu.

(3) Hakikat bahawa seorang perempuan hamil luar nikah akibat daripada persetubuhan yang dilakukan dengan kerelaannya dan semasa dia melakukannya dia sedar tentang perbuatannya adalah keterangan prima facie tentang perlakuan kesalahan di bawah subseksyen (2) oleh perempuan itu.

(4)Bagi maksud subseksyen (3), seseorang perempuan yang melahirkan anak yang sempurna sifatnya dalam tempoh kurang daripada enam bulan qamariah dari tarikh pernikahannya hendaklah disifatkan telah hamil luar nikah.




Copyright © PNMB-LawNet. All rights reserved.