ENAKMEN 6 TAHUN 2008
ENAKMEN MUFTI DAN FATWA (KEDAH DARUL AMAN) 2008

BAHAGIAN I - PERMULAAN



Seksyen 2. Tafsiran

(1) Dalam Enakmen ini, melainkan jika konteksnya menghendaki makna yang lain—

“Ahli Jawatankuasa Fatwa” ertinya ahli-ahli yang dilantik di bawah seksyen 11;

“Enakmen terdahulu” ertinya Enakmen Pentadbiran Agama Islam Negeri Kedah 1962 [Enakmen No. 9 Tahun 1962];

“fatwa” ertinya fatwa yang dikeluarkan di bawah seksyen 8 atau 19;

“Hukum Syarak” ertinya Hukum Syarak mengikut Mazhab Syafie atau mengikut mana-mana satu Mazhab Hanafi, Maliki atau Hambali;

“Jabatan” ertinya Jabatan Mufti Negeri Kedah Darul Aman;

“Jawatankuasa Fatwa” ertinya Jawatankuasa Fatwa yang ditubuhkan di bawah seksyen 10;

“Majlis” ertinya Majlis Agama Islam Negeri Kedah yang ditubuhkan di bawah Undang-Undang Pentadbiran Agama Islam Tahun 1962 [Enakmen No. 9 Tahun 1962];

“Mufti” ertinya Mufti yang dilantik oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan di bawah seksyen 5;

“nas” ertinya dalil atau hujah yang dikemukakan bagi menyokong sesuatu hukum yang diputuskan;

“Negeri” ertinya Negeri Kedah Darul Aman;

“Pegawai Penyelidik” ertinya Pegawai Penyelidik dan Penolong Pegawai Penyelidik Jabatan Mufti Negeri Kedah Darul Aman;

“Pengerusi” ertinya Pengerusi Jawatankuasa Fatwa;

“qaul muktamad” ertinya pegangan yang kukuh atau yang kuat dalam satu-satu mazhab;

“saraan” ertinya gaji pokok, elaun-elaun, imbuhan, honorarium, pengangkutan percuma atau bersubsidi dan keistimewaan lain yang dapat dinilai dengan wang;

“Setiausaha” ertinya Setiausaha Jawatankuasa Fatwa yang dilantik di bawah seksyen 13;

“Timbalan Mufti” ertinya Timbalan Mufti yang dilantik di bawah seksyen 5.

(2) Semua perkataan dan ungkapan yang digunakan dalam Enakmen ini dan tidak ditakrifkan dalam Enakmen ini tetapi ditakrifkan dalam Akta Tafsiran 1948 dan 1967 [Akta 388] hendaklah mempunyai masing-masing erti yang diberikan kepadanya dalam Akta itu setakat yang erti itu tidak bercanggah dengan Hukum Syarak.

(3) Bagi mengelakkan keraguan tentang identiti atau pentafsiran perkataan dan ungkapan yang digunakan dalam Enakmen ini yang disenaraikan dalam Jadual Pertama, rujukan bolehlah dibuat kepada tulisan Arab bagi perkataan dan ungkapan itu yang ditunjukkan bersetentangan dengannya dalam Jadual itu.




Copyright © PNMB-LawNet. All rights reserved.