ENAKMEN 9 TAHUN 2015
ENAKMEN WAKAF (PERAK) 2015


Seksyen 2. Tafsiran

(1) Dalam Enakmen ini, melainkan jika konteksnya menghendaki makna yang lain-

“Baitulmal” ertinya kumpulan wang yang ditubuhkan di bawah seksyen 70 Enakmen Pentadbiran;

“baligh” ertinya umur baligh mengikut Hukum Syarak;

“Enakmen” ertinya Enakmen Wakaf (Perak) 2015;

“Enakmen Pentadbiran” bererti Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Perak) 2004 [Enakmen Bil. 4 tahun 2004];

“faedah” berhubungan dengan sesuatu mawquf, ertinya hasil yang terbit daripada mawquf itu yang tidak kekal ‘ainnya;

“harta” termasuklah harta alih atau harta tak alih dan apa-apa manfaat atau faedah dalam apa-apa hak, kepentingan, hak milik, tuntutan, hak dalam tindakan, sama ada pada masa sekarang atau pada masa hadapan atau selainnya yang mempunyai nilai menurut Hukum Syarak;

“hasil” ertinya apa-apa faedah atau manfaat yang diperolehi daripada sesuatu mawquf dalam apa-apa bentuk yang boleh dinilai dengan mata wang dalam Ringgit Malaysia kecuali dinyatakan sebaliknya;

“hibah” ertinya sesuatu pemberian yang diberikan oleh seseorang semasa hayatnya tanpa apa-apa balasan menurut Hukum Syarak;

“Hukum Syarak” ertinya Hukum Syarak mengikut Mazhab Shafie atau mengikut mana-mana satu Mazhab Hanafi, Maliki atau Hambali;

“istibdal” ertinya menggantikan suatu mawquf dengan harta lain atau wang yang sama atau lebih tinggi nilainya melalui gantian, tukaran atau apa-apa cara lain yang diharuskan menurut Hukum Syarak;

“Jawatankuasa Fatwa” ertinya jawatankuasa yang ditubuhkan di bawah seksyen 35 Enakmen Pentadbiran;

“Jawatankuasa Pengurusan Wakaf” ertinya Jawatankuasa yang ditubuhkan oleh Majlis di bawah seksyen 30;

“Kumpulan Wang Wakaf” ertinya kumpulan wang yang ditubuhkan oleh Majlis di bawah seksyen 34;

“Mahkamah” ertinya Mahkamah Rendah Syariah, Mahkamah Tinggi Syariah atau Mahkamah Rayuan Syariah, mengikut mana-mana yang berkenaan, yang ditubuhkan di bawah subseksyen 44(1), (2) atau (3) Enakmen Pentadbiran;

“Majlis” ertinya Majlis Agama Islam dan ‘Adat Melayu Perak yang ditubuhkan di bawah subseksyen 4(1) Enakmen Pentadbiran;

“manfaat” berhubung dengan sesuatu mawquf, ertinya manfaat yang ada pada mawquf itu yang ‘ainnya tetap berkekalan;

maradh-al-maut” ertinya sakit yang membawa maut yang memenuhi syarat-syarat berikut:

mawquf” ertinya harta wakaf yang terdiri daripada wang prinsipal wakaf sama ada dalam bentuk wang tunai, harta dan hasil istibdal;

mawquf-alaih” ertinya orang yang berhak menerima apa-apa faedah, manfaat atau kedua-duanya sekali daripada mawquf itu;

“orang” termasuklah kumpulan orang sama ada diperbadankan atau tidak diperbadankan;

“saham wakaf” ertinya pewujudan suatu wakaf melalui saham-saham yang ditawarkan dan kemudiannya diwakafkan oleh pembeli kepada Majlis;

sighah” ertinya pernyataan wakaf yang dibuat sama ada secara lisan, perbuatan, tulisan atau isyarat;

“wakaf” ertinya apa-apa harta yang boleh dinikmati faedah, manfaat atau kedua-duanya sekali untuk apa-apa tujuan khairat sama ada sebagai wakaf am atau wakaf khas menurut Hukum Syarak, tetapi tidak termasuk amanah sebagaimana yang ditakrifkan di bawah Akta Pemegang Amanah 1949 [Akta 208];

“wakaf am” ertinya sesuatu wakaf yang diwujudkan bagi tujuan khairat umum menurut Hukum Syarak;

“wakaf khas” ertinya sesuatu wakaf yang diwujudkan bagi tujuan khairat yang khusus menurut Hukum Syarak; dan

waqif” ertinya orang yang mewujudkan wakaf.

(2) Semua perkataan dan ungkapan yang digunakan dalam Enakmen ini dan tidak ditakrifkan di dalamnya tetapi ditakrifkan dalam Bahagian I Akta Tafsiran 1948 dan 1967 [Akta 388] hendaklah mempunyai erti yang diberikan kepadanya masing-masing setakat yang erti itu tidak bercanggah dengan Hukum Syarak.

(3) Bagi mengelakkan keraguan tentang identiti atau pentafsiran perkataan-perkataan dan ungkapan-ungkapan yang digunakan dalam Enakmen ini yang disenaraikan dalam Jadual, rujukan bolehlah dibuat kepada tulisan Arab bagi perkataan-perkataan dan ungkapan-ungkapan itu yang ditunjukkan bersetentangan dengannya dalam Jadual itu.




Copyright © PNMB-LawNet. All rights reserved.