ENAKMEN 13 TAHUN 2015
ENAKMEN KANUN JENAYAH SYARIAH (II) 1993 (2015)

PERMULAAN



Seksyen 3. Tafsiran

(1) Dalam Kanun ini, melainkan jika konteksnya menghendaki makna yang lain-

“anak” termasuklah cucu dan keturunan di bawahnya atau selepasnya;

“arsy”ertinya suatu jumlah wang atau harta atau sebahagian daripada diyat yang kena dibayar kepada mangsa sebagaimana yang ditetapkan dalam Jadual II, III, dan IV sebagai pampasan kerana kecederaan (jurh) yang dilakukan ke atas mangsa itu;

“Baitulmal” ertinya Baitulmal yang ditubuhkan di bawah seksyen 41 Enakmen Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan [Enakmen Bil.4 Tahun 1994];

“diyat” ertinya suatu jumlah wang tertentu atau harta yang jumlah atau nilainya adalah bersamaan dengan harga emas semasa seberat 4450 gram atau dengan kadar yang ditetapkan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Al-Sultan dari semasa ke semasa.

“Enakmen Pentadbiran” ertinya Enakmen Pentadbiran Mahkamah Syariah 1982 [Enakmen No. 3 Tahun 1982];

“Hakim” ertinya hakim yang dilantik di bawah Bahagian VI;

“hukum syarak” ertinya mengikut mazhab Syafie atau mengikut mana-mana satu mazhab Hanafi, Maliki atau Hambali;

“Jamaah Ulama’ ” ertinya Jamaah Ulama’ yang ditubuhkan di bawah seksyen 33 Enakmen Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan 1994;

“Mahkamah” ertinya Mahkamah Bicara Syariah Khas dan Mahkamah Rayuan Syariah Khas yang ditubuhkan di bawah Bahagian VI;

“Majlis” ertinya Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan yang ditubuhkan di bawah subseksyen 5(1) Enakmen Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan 1994;

mohsan” dan “ghairu mohsan” mempunyai pengertian yang sama seperti yang diberikan di dalam perenggan 12(2)(a) dan (b);

“mukalaf” ertinya seseorang yang sudah mencapai umur 18 tahun dan sempurna akalnya;

“nisab” ertinya suatu jumlah wang yang bersamaan dengan harga emas semasa seberat 4.45 gram atau suatu jumlah wang yang akan ditetapkan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Al-Sultan dari semasa ke semasa mengikut hukum syarak;

“penjara” mempunyai erti yang diberikan kepadanya dalam seksyen 2 Akta Penjara 1995 [Akta 537];

“qisas” ertinya hukuman balas balik atau persamaan bagi kesalahan menyebabkan kematian atau cedera tubuh badan ke atas seseorang;

“Suruhanjaya Perkhidmatan Negeri” ertinya Suruhanjaya Perkhidmatan Negeri yang ditubuhkan oleh Kerajaan Negeri;

“wali” ertinya waris mangsa yang berhak memaafkan pesalah yang melakukan kesalahan ke atas mangsa itu;

(2) Bagi mengelakkan keraguan tentang identiti perkataanperkataan atau perbahasan yang digunakan dalam Kanun ini yang disenaraikan dalam Jadual I, rujukan bolehlah dibuat kepada skrip Bahasa Arab perkataan-perkataan dan perbahasan itu yang ditunjukkan bersetentangan dengannya dalam Jadual itu.

(3) Semua perkataan, perbahasan, tafsiran dan rangkai kata yang digunakan dalam Kanun ini tetapi tidak ditakrifkan di dalamnya, hendaklah disifatkan mempunyai makna yang diberi terhadapnya dalam Akta Tafsiran 1948 dan 1967 [Akta 388] jika tidak bertentangan dengan hukum syarak.

(4) Melainkan jika kandungan ayatnya menghendaki makna yang lain apa-apa rujukan dalam Kanun ini mengenai sesuatu Bahagian atau seksyen atau subseksyen atau Jadual tertentu adalah rujukan mengenai sesuatu Bahagian atau seksyen atau subseksyen atau Jadual tertentu dalam Kanun ini.




Copyright © PNMB-LawNet. All rights reserved.